Jerebu: Hari Sukan Negara peringkat Selangor ditangguh

9 Oct 2026 • 11:09 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jerebu: Hari Sukan Negara peringkat Selangor ditangguh

SHAH ALAM – Sambutan Hari Sukan Negara 2026 peringkat negeri dan daerah di seluruh Selangor yang dijadualkan Sabtu ini ditangguhkan berikutan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, keputusan ini dibuat dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat, khususnya peserta, petugas, sukarelawan serta kanak-kanak dan golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara.

Katanya, penangguhan itu susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Selangor telah berada pada tahap tidak sihat.

“Ini sekali gus menimbulkan risiko kepada orang ramai sekiranya aktiviti fizikal diteruskan dalam keadaan semasa.

“Sehubungan itu, semua agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan, pejabat belia dan sukan daerah serta rakan penganjur yang terlibat hendaklah mengambil maklum penangguhan ini dan melaksanakan penyelarasan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, pendirian Kerajaan Negeri adalah jelas iaitu keselamatan dan kesihatan rakyat mesti mengatasi pertimbangan untuk meneruskan sesuatu program.

Katanya, Sambutan Hari Sukan Negara bertujuan memupuk budaya hidup aktif dan sihat, justeru penganjurannya tidak wajar diteruskan dalam keadaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta merujuk pengumuman rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penjadualan semula program,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Najwan berkata, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu dan berpandukan nasihat pihak berkuasa berkaitan dalam menentukan langkah selanjutnya.

“Keputusan ini bukan bermaksud komitmen terhadap agenda sukan diketepikan, sebaliknya bagi memastikan setiap program dilaksanakan dalam keadaan selamat tanpa mendedahkan rakyat kepada risiko kesihatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu: Hari Sukan Negara peringkat Selangor ditangguh appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved