Jerebu: Semua sekolah KPM di tiga negeri, Putrajaya beroperasi seperti biasa esok

15 Oct 2026 • 4:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jerebu: Semua sekolah KPM di tiga negeri, Putrajaya beroperasi seperti biasa esok
Pelajar yang hadir ke sekolah dilihat mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka walaupun situasi jerebu yang sudah berkurangan ketika tinjauan di sekitar Lembah Keramat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Putrajaya akan beroperasi seperti biasa esok.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di tiga negeri itu dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dalam kenyataan berasingan pada Khamis, menggalakkan murid, guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) serta seluruh warga sekolah hadir dengan memakai pelitup muka.

Selain itu, jabatan tersebut memaklumkan ibu bapa dan penjaga yang bimbang kesan jerebu terhadap kesihatan anak dibenarkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan ketidakhadiran kepada pihak sekolah.

Di Negeri Sembilan, JPN memaklumkan semua aktiviti di luar bilik darjah termasuk pendidikan jasmani, aktiviti kokurikulum dan sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan dan aktiviti di dewan terbuka hendaklah dihentikan sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100.

Jabatan itu memaklumkan sebarang keputusan penutupan institusi pendidikan akibat jerebu adalah tertakluk kepada ketetapan, kriteria dan garis panduan ditetapkan KPM berdasarkan bacaan IPU serta perkembangan semasa.

Di Pahang, Selangor dan Putrajaya, JPN berkaitan memaklumkan semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan berikutan situasi jerebu.

Dalam pada itu, semua penjaga dan ibu bapa disarankan untuk sentiasa mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini menerusi saluran komunikasi rasmi seperti JPN, JPWPP, Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak sekolah.

Menurut Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 34 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi tadi dengan Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 192.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved