
PETALING JAYA – Semua sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, PPD Kuala Selangor, PPD Kuala Langat, PPD Hulu Langat, PPD Gombak, PPD Sepang, PPD Petaling Perdana dan PPD Petaling Utama ditutup dan tidak beroperasi esok.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan, bagaimanapun sekolah di bawah pentadbiran PPD Hulu Selangor dan PPD Sabak Bernam akan beroperasi seperti biasa.
“Namun demikian, semua aktiviti luar bilik darjah di kedua-dua daerah tersebut tidak dibenarkan.
“Ibu bapa, penjaga, murid dan seluruh warga pendidikan diminta mengambil maklum tentang pemakluman ini serta merujuk saluran rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat terkini,” katanya dalam kenyataan, petang ini.
Jabatan itu menambah, sebarang perubahan status pengoperasian sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
“Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi makluman terkini tersebut susulan penutupan beberapa sekolah di Selangor.
“Jerebu di Selangor: Semua sekolah di bawah PPD Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Petaling Perdana dan Petaling Utama ditutup pada 16 Oktober 2026,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Sekolah bawah lapan PPD di Selangor tutup esok appeared first on Kosmo Online.






