Jerebu: Institusi pendidikan di Rompin ditutup sementara

LocalEnvironment
9 Oct 2026 • 7:33 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jerebu: Institusi pendidikan di Rompin ditutup sementara
JPN Pahang arah institusi pendidikan di Rompin ditutup sementara akibat jerebu.

KUANTAN - Semua institusi pendidikan di Rompin di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang ditutup sementara mulai Jumaat susulan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat di daerah berkenaan.

JPN Pahang memaklumkan, penutupan itu sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.

Menurutnya, sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah dilaksanakan melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.

"Semua institusi pendidikan di daerah Rompin hendaklah memantau perkembangan bacaan IPU secara berterusan dan mematuhi arahan serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.

"Pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang setelah keadaan dan bacaan IPU berada pada tahap yang membolehkan institusi beroperasi dengan selamat," menurut kenyataan itu.

Empat stesen pemantauan kualiti udara di Pahang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat jam 6 petang Khamis.

Bacaan IPU Daerah Rompin mencatat 178 diikuti Indera Mahkota (166), Balok (165) dan Temerloh (153).

JPN Pahang mengingatkan pihak institusi pendidikan supaya mengawal aktiviti yang boleh mendedahkan murid dan warga pendidikan kepada udara tidak sihat serta mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi keselamatan dan kesihatan mereka.

"Pihak jabatan mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan.

"Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah Rompin dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang diambil bersesuaian dengan perkembangan semasa," menurut kenyataan itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved