
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengikuti jejak dengan menutup semua sekolah dibawah kawalannya mulai esok susulan keadaan jerebu.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, proses pembelajaran murid diteruskan menerusi Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).
Katanya, guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pula akan melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa.
“Pihak sekolah perlu terus membuat pemantauan keadaan semasa dan mengutamakan keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid dan warga pendidikan.
“Ibu bapa atau penjaga dimohon mengikuti perkembangan dan makluman rasmi JAIS dari semasa ke semasa, khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut beliau, ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian berkaitan pembukaan sekolah dan hanya merujuk kepada makluman rasmi JAIS.
“Ibu bapa atau penjaga tuut disarankan menasihati anak-anak supaya mematuhi arahan pihak sekolah, menjaga keselamatan diri dan tidak terlibat dengan perkara yang tidak sepatutnya sepanjang tempoh penutupan sekolah,”ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sekolah Islam Persendirian yang berdaftar dengan JAIS juga disarankan mengikuti ketetapan ini. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: JAIS ikut jejak langkah KPM, semua sekolah tutup mulai esok appeared first on Kosmo Online.






