Jerebu: Johor lanjut cuti sekolah lima hari lagi

LocalEnvironment
10 Oct 2026 • 8:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jerebu: Johor lanjut cuti sekolah lima hari lagi

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor melanjutkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri selama lima hari lagi bermula Isnin hingga Jumaat ini susulan keadaan jerebu yang masih menjejaskan kualiti udara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa pencemaran udara serta risiko terhadap kesihatan murid dan warga pendidikan.

Menurutnya, langkah tersebut turut dibuat menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan murid.

“Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk melanjutkan tempoh penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negeri selama lima hari, bermula 12 hingga 16 Oktober 2026.

“Keputusan ini dibuat selepas meneliti pelbagai faktor serta perkembangan semasa pencemaran udara akibat jerebu yang masih melanda negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Naqib berkata, antara faktor yang diambil kira ialah jangkaan pergerakan angin dari arah Kalimantan pada 13 hingga 15 Oktober yang berpotensi membawa pencemaran udara rentas sempadan.

Selain itu, risiko peningkatan kepekatan partikel halus dalam atmosfera serta keadaan pergerakan udara yang perlahan turut berpotensi menyebabkan jerebu berlarutan untuk tempoh lebih panjang.

Katanya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dilaporkan berada sekitar 170 hingga 180 tanpa perubahan ketara menunjukkan kualiti udara masih berada pada tahap tidak sihat.

Dalam pada itu, segala urusan pentaksiran atau penilaian akademik yang dijadualkan berlangsung sepanjang tempoh penutupan akan ditangguhkan dan dijadualkan semula mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah pula akan diteruskan mengikut kesesuaian bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.

Muhammad Naqib berkata, pemantauan terhadap bacaan IPU akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan kerjasama agensi berkaitan, manakala sebarang keputusan mengenai pengoperasian semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya mengehadkan aktiviti luar anak-anak, memastikan mereka mengambil air yang mencukupi serta mendapatkan pemeriksaan perubatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, sakit tekak atau kesukaran bernafas.

Katanya, keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan anak-anak Johor kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam menghadapi situasi jerebu ketika ini. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu: Johor lanjut cuti sekolah lima hari lagi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved