
GEORGE TOWN – Sistem kesihatan di Pulau Pinang berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan peningkatan pesakit susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan, ketika ini.
Exco Kesihatan, Belia dan Sukan Negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, bagaimanapun, kapasiti kemudahan kesihatan awam di negeri ini masih mencukupi dan belum menunjukkan peningkatan mendadak kes berkaitan masalah pernafasan.
“Memang sistem kesihatan kita telah mula bersiap siaga pada permulaan musim jerebu ini. Buat masa ini kapasiti kita masih ‘ok’ untuk menghadapi cabaran jerebu, cuma buat masa kini masih belum ada peningkatan kes secara mendadak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Menurut beliau, keadaan jerebu sehingga setakat ini agak merisaukan dan orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas serta pesakit asma supaya mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan awam terdekat sekiranya mengalami masalah kesihatan.
Setakat pukul 1.09 tengah hari tadi, empat stesen pemantauan di Pulau Pinang menunjukkan bacaan IPU yang tidak sihat iaitu Minden (167), Balik Pulau (164) Seberang Jaya (162) dan Seberang Perai (160). – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Kapasiti kesihatan di P. Pinang baik appeared first on Kosmo Online.





