
GEORGE TOWN : Sebarang aktiviti pelancongan yang dijalankan di kawasan luar akan dipantau mengikut keadaan cuaca dan tahap jerebu semasa bagi memastikan keselamatan orang ramai.
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, dalam hal ini, pihaknya akan mengambil kira keadaan semasa termasuk mendapatkan nasihat serta laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum meneruskan aktiviti berkaitan.
“Setakat ini tiada sekatan terhadap aktiviti luar di bawah sektor pelancongan. Namun, kita memang perlu melihat keadaan cuaca dan sekiranya mencapai tahap yang bahaya, kita mungkin akan menundanya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Keretapi Sarong 2026 yang berlangsung di Muzium Feri Pulau Pinang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Soon Hin memuji langkah penganjuran Keretapi Sarong 2026 di Pulau Pinang sempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Katanya, program itu turut mendapat sokongan daripada agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Rapid Penang serta perkhidmatan feri.
“Perkhidmatan secara percuma turut disediakan hari ini bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk hadir ke program ini,” katanya.
Sementara itu, penganjur program yang juga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Muzium Feri Pulau Pinang, Abdul Hadi Abu Osman berkata, jumlah kehadiran pada program berkenaan disasarkan melebihi 15,000 orang termasuk pengunjung dari Perlis, Kedah dan Perak.
Katanya, setakat ini kira-kira 9,000 peserta telah membuat pendaftaran menerusi sistem, manakala kira-kira 2,000 lagi menghadapi masalah teknikal ketika proses pendaftaran.-UTUSAN
The post Jerebu: Aktiviti pelancongan luar dipantau ikut nasihat JAS appeared first on Utusan Malaysia.






