Eksport Proton cecah 7,370 unit dalam sembilan bulan, atasi jualan luar negara sepanjang 2025

LocalCars
16 Oct 2026 • 6:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eksport Proton cecah 7,370 unit dalam sembilan bulan, atasi jualan luar negara sepanjang 2025 Image from: Eksport Proton cecah 7,370 unit dalam sembilan bulan, atasi jualan luar negara sepanjang 2025 sarah16/10/2026 - 18:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt - Proton Holdings Bhd (Proton) mengeksport 7,370 kenderaan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, mengatasi jumlah eksport sepanjang tahun lalu, didorong sebahagian besarnya oleh program pengeluaran model Geely untuk pasaran antarabangsa di kilangnya di Tanjong Malim, Perak.

 

Jumlah itu, yang merangkumi kenderaan berjenama Proton dan Geely, melepasi 6,000 unit yang direkodkan sepanjang 2025, sekali gus mencerminkan perkembangan peranan pengeluar kereta nasional itu sebagai hab pembuatan automotif serantau.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, pengembangan program pengeluaran antarabangsa itu membolehkan syarikat memanfaatkan pelaburan sedia ada di Tanjong Malim pada skala lebih besar, selain meningkatkan daya saing dan kehadirannya di pasaran luar negara.

 

“Aspirasi kami adalah untuk meningkatkan daya saing Proton melalui produk yang lebih kukuh, keupayaan pembuatan yang lebih tinggi serta kehadiran antarabangsa yang lebih meluas. Perluasan peranan kami sebagai hab pengeluaran antarabangsa membolehkan kami mengoptimumkan pelaburan yang telah dibuat di Tanjong Malim pada skala yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Proton, pengeluaran model Geely terpilih untuk pasaran eksport turut memberikan pendedahan lebih luas kepada tenaga kerja Malaysia dalam memenuhi spesifikasi antarabangsa, termasuk keperluan kawal selia, pengujian, kawalan proses dan jaminan kualiti.

 

prt

 

Tanjong Malim mampu hasilkan 250,000 kenderaan setahun

Kompleks pembuatan bersepadu Proton di Tanjong Malim kini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 250,000 kenderaan setahun, merangkumi proses pengecapan, pemasangan badan, pengecatan dan pemasangan akhir, selain kemudahan pengeluaran rangkaian kuasa serta kenderaan tenaga baharu.

 

Kemudahan Advanced Powertrain Hub pula menyokong pengeluaran komponen enjin dan rangkaian kuasa, termasuk teknologi hibrid serta elektrifikasi, manakala transmisi CVT bagi model Proton dihasilkan oleh Punch di fasiliti dalam kawasan Automotive High-Tech Valley (AHTV).

 

Proton turut memindahkan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kejuruteraannya ke AHTV bagi menyatukan aktiviti pembangunan dan pengeluaran di satu lokasi, selain menyiapkan hab logistik baharu yang dijangka meningkatkan kecekapan operasi apabila mula beroperasi.

 

Penyatuan operasi pembuatan di Tanjong Malim turut melibatkan pemindahan kira-kira 1,400 pekerja pembuatan dari Shah Alam, sekali gus menghimpunkan tenaga kerja dan kepakaran bagi menyokong pertumbuhan pengeluaran serta pembangunan industri automotif tempatan.

 

“Bagi Malaysia, nilai program-program ini melangkaui jumlah kenderaan yang dieksport. Ia membawa permintaan dari luar negara ke dalam operasi pembuatan kita, menjana pendapatan eksport serta mewujudkan peluang perniagaan merentasi ekonomi yang lebih luas,” kata Abdul Rashid sambil menegaskan komitmen syarikat memperkukuh sumbangan Tanjong Malim kepada daya saing industri automotif negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved