
PETALING JAYA: Negara merekodkan lonjakan kes jangkitan saluran pernafasan akut (URTI) dan asma sebanyak 124 peratus sepanjang minggu epidemiologi lalu.
Lonjakan itu berlaku ketika negara berdepan musim jerebu yang memberi kesan terhadap sebahagian kawasan di negara ini
Kementerian Kesihatan berkata, kes URTI melonjak 124.4 peratus daripada 1,637 kes pada minggu epidemiologi ke-32 kepada 3,674 pada minggu berikutnya.
Kes asma pula meningkat sebanyak 259 peratus daripada 61 kepada 219 kes manakala kes konjunktivitis menurun daripada 157 kepada 146 kes.
“KKM mengambil maklum jumlah stesen berstatus tidak sihat menunjukkan penurunan signifikan daripada 31 kepada 17 stesen hari ini.
“Bagaimanapun, situasi jerebu di beberapa kawasan seperti Sarawak masih berterusan, manakala keadaan jerebu di kawasan lain lebih bersifat sementara dan berubah mengikut keadaan semasa.
“KKM terus mempergiatkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu bagi menilai kesannya terhadap kesihatan penduduk di kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN
The post Jerebu: Kes jangkitan pernafasan meningkat 124 peratus appeared first on Utusan Malaysia.





