Jerebu: Semua enam stesen Selangor catat IPU tidak sihat, acara Fun Walk ditangguh

LocalEnvironment
16 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu: Semua enam stesen Selangor catat IPU tidak sihat, acara Fun Walk ditangguh

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kualiti udara di Selangor terus merosot apabila kesemua enam stesen pemantauan di negeri ini merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat pagi ini.

Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) setakat 8.27 pagi, Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi di Selangor iaitu 185.

Ia diikuti Shah Alam dengan bacaan 175, Petaling Jaya (168), Klang (167), Banting (166) dan Kuala Selangor (165).

Kesemua bacaan berkenaan berada dalam kategori tidak sihat iaitu antara 101 hingga 200.

Keadaan jerebu turut memberi kesan kepada penganjuran aktiviti luar apabila program Autism AEON Day - Fun Walk terpaksa ditangguhkan demi keselamatan dan kesejahteraan peserta.

Penganjur menerusi kenyataan di media sosial memohon maaf atas penangguhan itu dan memaklumkan tarikh baharu akan diumumkan selepas dimuktamadkan.

“Kami amat memahami keterujaan dan persiapan yang telah dilakukan oleh para pelanggan serta peserta untuk acara ini dan kami benar-benar kesal atas segala kekecewaan serta kesulitan yang mungkin timbul.

“Keselamatan dan kesejahteraan semua pihak sentiasa menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, 41 daripada 68 stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan IPU pada tahap tidak sihat pagi ini.

Selain Selangor, beberapa lokasi lain turut mencatat bacaan tinggi termasuk Cheras, Kuala Lumpur (179), Nilai, Negeri Sembilan (178), Putrajaya (176), Seremban (175) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (172).

Sementara itu, 22 stesen berada pada tahap sederhana dengan bacaan antara 51 hingga 100.

Antaranya Larkin, Johor yang mencatat IPU 99, diikuti Pengerang (98), Besut, Terengganu (97), Langkawi, Kedah (95) dan Kota Tinggi, Johor (95).

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini bacaan IPU menerusi portal rasmi APIMS Jabatan Alam Sekitar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved