
GEORGE TOWN – “Nak keluar ke mana, semua nampak kelabu”.
Itu antara luahan penduduk Pulau Pinang yang terpaksa mengehadkan aktiviti luar sempena cuti Hari Malaysia esok susulan keadaan jerebu di negeri ini yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga petang tadi.
Rata-rata yang ditemui mengakui berasa rimas dan kurang selesa apabila keadaan udara kelihatan berkabus selain pemandangan yang biasanya jelas kini kelihatan kabur.
Malah, ada yang menyangka penglihatannya bermasalah apabila mendapati pemandangan Bukit Bendera dari arah George Town turut kelihatan samar.
Seorang penduduk, Faridah Hashim, 45 berkata, dia memilih untuk berada di rumah pada hari Cuti Umum esok susulan keadaan jerebu yang semakin tidak sihat.
“Pada mulanya saya ingat mata saya yang rabun sebab Bukit Bendera pun nampak kabur. Rupanya memang jerebu.
“Memang rasa rimas hendak berada di luar. Nafas pun rasa kurang selesa dan pemandangan semua nampak kelabu,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 47 berkata, suhu yang luar biasa menyebabkan mereka lebih selesa berada di dalam rumah.
“Cuaca terasa sangat bahang. Bila tengok keadaan di luar pun semuanya kelabu, jadi rasa malas hendak keluar.
“Sepatutnya cuti Hari Malaysia boleh keluar bersama keluarga, tetapi dengan keadaan jerebu begini, lebih baik duduk di rumah,” katanya.
Bagi seorang lagi penduduk, keadaan jerebu bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah membuatkan aktiviti luar termasuk bersukan dan beriadah terpaksa dipertimbangkan semula.
“Memang terasa bezanya. Udara macam berat dan pandangan tidak jelas. Nak berjalan-jalan pun rasa serba tak kena.
“Harap keadaan ini kembali pulih supaya orang ramai boleh menikmati cuti Hari Malaysia dengan lebih selesa,” katanya.
Setakat pukul 6.28 petang tadi, empat stesen pemantauan di Pulau Pinang menunjukkan bacaan IPU yang tidak sihat iaitu Seberang Jaya (152), Seberang Perai (123), Minden (154) dan Balik Pulau (155). -KOSMO! ONLINE
The post ‘Nak keluar ke mana, semua nampak kelabu’ appeared first on Kosmo Online.





