Jerebu: Malaysia perlu tuntut ganti rugi jika Indonesia enggan bekerjasama - Guan Eng

LocalEnvironment
15 Oct 2026 • 10:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jerebu: Malaysia perlu tuntut ganti rugi jika Indonesia enggan bekerjasama - Guan Eng
Beliau berkata, krisis jerebu berpunca daripada kebakaran hutan dan lahan (tanah) semakin serius tahun ini.

KUALA LUMPUR - Malaysia disyorkan bekerjasama dengan Singapura, Filipina dan Indonesia bagi menubuhkan Petugas Khas Kebakaran Hutan dan Lahan (Karhutla) ASEAN secara tetap bagi menangani krisis jerebu rentas sempadan dengan lebih berkesan.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) ketika mengemukakan cadangan itu berkata, petugas khas berkenaan perlu disokong pasukan penyelamat kekal sepanjang tahun, yang bersedia bertindak serta-merta sebaik sahaja berlaku kebakaran hutan.

"Sementara itu, sekiranya kerajaan Indonesia masih enggan menerima Petugas Khas Karhutla ASEAN atas sebab kedaulatan negara, maka kerajaan Malaysia tidak ada jalan lain kecuali bertindak dengan memulakan tuntutan ganti rugi secara perundangan.

"Rakyat Malaysia tidak boleh berdiam sahaja tanpa sebarang tindakan menghadapi krisis jerebu ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata, krisis jerebu berpunca daripada kebakaran hutan dan lahan (tanah) yang semakin serius tahun ini, dengan kawasan terjejas di Indonesia didakwanya mencecah 300,000 hektar, iaitu 70 peratus lebih besar berbanding 2023.

Guan Eng turut mendesak kerajaan menyediakan bantuan kewangan khusus kepada rakyat terjejas akibat jerebu, khususnya pekerja sektor gig dan pemandu e-hailing yang terpaksa menghentikan pekerjaan berikutan kualiti udara tidak sihat.

Sementara itu, Datuk Ali Biju (PN-Saratok) turut menggesa kerajaan meneroka mekanisme perundangan antarabangsa bagi menuntut pampasan dan ganti rugi daripada pihak yang bertanggungjawab terhadap jerebu rentas sempadan, termasuk syarikat perladangan komersial yang terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka.

Beliau berkata, fenomena jerebu yang berulang hampir setiap tahun bukan sahaja menjejaskan kesihatan jutaan penduduk di rantau ASEAN, malah memberi kesan kepada sektor pelancongan, perniagaan, pengangkutan serta penganjuran acara sukan antarabangsa.

Ali turut menyuarakan kebimbangan terhadap risiko jerebu yang boleh menjejaskan penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak pada September tahun depan, memandangkan fenomena itu lazimnya berlaku pada bulan tersebut.

"Bencana jerebu ini adalah bencana buatan manusia, dapat dirancang, dapat diramalkan, disengajakan dan tetap berlaku tiap-tiap tahun,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa kerajaan mengemukakan aduan rasmi kepada Indonesia, memperkukuh perundangan berkaitan pencemaran jerebu rentas sempadan serta mempertimbangkan penubuhan tabung bencana jerebu bagi membantu pihak terjejas, selain tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka sehingga mencetuskan pencemaran udara.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved