
PUTRAJAYA: Malaysia sedia menggerakkan aset dan kepakaran negara bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan di Kalimantan yang kini menjadi punca kepada masalah jerebu rentas sempadan.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, senarai aset yang berpotensi digunakan telah disediakan dan disampaikan kepada negara jiran itu melalui saluran diplomatik.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar.
“Senarai aset yang mampu kita sediakan untuk membantu negara jiran telah disampaikan, namun sehingga kini belum ada pengesahan mengenai sebarang bentuk kerjasama atau kebenaran untuk mengguna pakai aset Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Katanya, tawaran bantuan tersebut telah disalurkan menerusi Wisma Putra dan kedutaan Malaysia, manakala NADMA telah bersedia untuk melaksanakan sebarang bentuk bantuan yang diperlukan.
Mengulas isu dakwaan syarikat milik Malaysia yang beroperasi di Indonesia terlibat dalam aktiviti menyebabkan jerebu rentas sempadan, Fahmi berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta NADMA.
Katanya, isu berkenaan tidak dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Ketika ini, status udara di daerah Serian, Sarawak kekal membimbangkan apabila merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 212, setakat jam 8 pagi ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 28 kawasan di seluruh negara pula merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Di Sarawak, Samarahan merekodkan bacaan 186, diikuti Sarikei dan Sri Aman masing-masing 174, manakala ILP Miri (172) dan Mukah (157), Bintulu (156), Miri (151) serta Sibu (104).
Selain Sarawak, beberapa kawasan di Semenanjung turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Batu Muda, Kuala Lumpur mencatat bacaan 170, diikuti Shah Alam, Selangor (162). – UTUSAN
The post Jerebu: Malaysia sedia gerakkan aset, tunggu ‘lampu hijau’ kerajaan Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.






