Jerebu: Murid asrama disaran kekal di sekolah sepanjang penutupan

12 Oct 2026 • 10:03 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu: Murid asrama disaran kekal di sekolah sepanjang penutupan

SHAH ALAM, 12 OKT: Murid sekolah berasrama disaran terus berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat jerebu, selagi keadaan selamat dan kebajikan mereka terjamin.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata langkah itu bagi mengelakkan ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali susulan perubahan status pengoperasian sekolah.

“Bagi murid asrama, selepas ini mereka disarankan untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu selagi keadaan selamat dan kebajikan terjamin.

“Kita tidak mahu ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Fadhlina berkata beliau memahami keresahan ibu bapa berhubung keputusan penutupan sekolah yang diumumkan dari hari ke hari, termasuk cadangan supaya sekolah ditutup terus selama beberapa hari.

Menurutnya, beliau sudah meminta supaya keputusan penutupan dimaklumkan seawal mungkin bagi membolehkan ibu bapa membuat persediaan.

Bagaimanapun, keputusan itu perlu mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang boleh berubah mengikut masa dan lokasi.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) bertanggungjawab memastikan keselamatan murid dan mengurus operasi sekolah berdasarkan keadaan semasa, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau kualiti udara serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan panduan risiko kesihatan.

Fadhlina turut mengingatkan penutupan sekolah yang berpanjangan boleh menjejaskan pembelajaran murid seperti yang dialami ketika pandemik COVID-19.

“Masa pembelajaran yang hilang bukan mudah untuk diganti, apatah lagi kemudahan PdPR tidak sama bagi setiap murid,” katanya.

Menurutnya, KPM akan terus memantau perkembangan jerebu menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), selain menambah baik penyampaian maklumat kepada ibu bapa.

Terdahulu, semua sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana di Selangor kekal ditutup hari ini akibat jerebu, manakala sekolah di bawah PPD lain beroperasi seperti biasa.

Penutupan turut melibatkan semua sekolah di Johor serta sekolah di bawah PPD Bangsar Pudu di Kuala Lumpur.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved