
KUALA LUMPUR - Sebarang keputusan berhubung penutupan atau pembukaan semula sekolah akibat krisis jerebu ditentukan dari semasa ke semasa berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada serta nasihat rasmi agensi teknikal berkaitan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bertindak secara bersendirian, sebaliknya bergantung kepada penilaian kualiti udara dan panduan kesihatan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kementerian Kesihatan (KKM), serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Kita sudah tetapkan bahawa kita bertindak berdasarkan SOP, garis panduan yang sedia ada dan nasihat daripada MetMalaysia berdasarkan ketentuan dari semasa ke semasa dan juga KKM.
"Kita ada jawatankuasa dan panduan itu kita ambil sepenuhnya daripada KKM dan NRES," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Petah KPM 2026 di sini hari ini.
Fadhlina menjelaskan, walaupun pemantauan kualiti udara dijalankan secara berterusan, peranan ibu bapa amat krusial dalam mengutamakannya aspek kesihatan anak-anak di rumah.
Beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak mengabaikan gejala kesihatan murid dan tidak menghantar anak yang tidak sihat ke sekolah, sebaliknya memaklumkan perkara itu kepada pentadbir sekolah.
“Sebab itu dalam pedoman yang kita berikan kepada ibu bapa, sekiranya anak-anak tidak sihat tidak perlu dihantar ke sekolah dan maklumkan kepada sekolah,” katanya.
Mengulas kebarangkalian krisis jerebu berlarutan hingga November atau Disember, Fadhlina memaklumkan sebarang tindakan susulan akan terus dibuat secara kolektif dengan mengimbangi perlindungan kesihatan murid dan implikasi keciciran pembelajaran sekiranya sekolah ditutup terlalu lama.
Dalam perkembangan berasingan, Program Petah KPM merupakan platform strategik Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara holistik, yang memberi penekanan kepada kecekapan penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris secara seiring demi memupuk komunikasi fasih serta beradab merentas kaum. - 12 Oktober, 2026
The post Tutup sekolah isu jerebu: KPM ikut SOP, nasihat agensi pakar, bukan buat keputusan sendiri appeared first on Scoop.






