
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan solat hajat diadakan di semua masjid di seluruh negeri ini bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini bertambah baik.
Kesultanan Pahang memaklumkan baginda bertitah doa dan ikhtiar perlu berjalan seiring dalam menghadapi keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.
“Baginda turut menasihati masyarakat di Sarawak supaya mematuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri, khususnya berkaitan keselamatan dan kesihatan sepanjang keadaan jerebu berkenaan serta mengambil langkah sewajarnya,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Media melaporkan, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian, Sarawak mencatatkan penurunan kepada 190 setakat 9 pagi tadi, berbanding 227 petang semalam, menyaksikan kualiti udara di kawasan berkenaan beralih daripada tahap sangat tidak sihat kepada tidak sihat.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sepuluh kawasan lain turut mencatatkan tahap tidak sihat, iaitu Kuching (182), Samarahan (177), Sarikei dan Sri Aman (173), Sibu (161), Bintulu (157), Samalaju dan Mukah (156) serta Miri dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing 151.-UTUSAN
The post Sultan Pahang titah solat hajat di semua masjid, doa jerebu Sarawak pulih appeared first on Utusan Malaysia.






