KUALA LUMPUR - Sekolah di empat daerah di Selangor dan Kuala Lumpur tidak akan beroperasi esok berikutan jerebu yang semakin memburuk.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata arahan itu membabitkan semua sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu, Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana pada 12 Oktober.
Bagaimanapun, sekolah di negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak akan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Beliau berkata, sekolah di PPD lain di Selangor dan Kuala Lumpur juga tidak terjejas dengan arahan penutupan itu.
Fadhlina menerusi hantaran di Facebook hari ini turut mengingatkan ibu bapa dan pihak sekolah supaya mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD masing-masing.
Sementara itu, status operasi sekolah akan dinilai setiap hari berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sehubungan itu, KPM telah mengarahkan pengarah pendidikan negeri menubuhkan pasukan pemantau jerebu bagi menyelaras pemantauan dan pengumuman berkaitan operasi sekolah. - Getaran, 11 Oktober 2026






