
SHAH ALAM – Semua Sekolah Agama Negeri (SAN) di daerah Hulu Langat, Gombak dan Zon Petaling Perdana kekal ditutup esok berikutan perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, SAN di Zon Petaling Perdana hanya melibatkan sekolah dari Seksyen 1 hingga 28 di Shah Alam, Subang Jaya, USJ, Subang Bestari, Kampung Melayu Subang, Puchong, Bandar Kinrara, Seri Kembangan, Bukit Jelutong, Taman Sri Muda dan Putra Heights.
Menurutnya, penutupan turut melibatkan SAN di daerah Gombak termasuk sekolah di Sungai Buloh.
“Manakala, SAN di daerah dan zon lain akan beroperasi seperti biasa bermula esok.
“Sekolah Islam Persendirian (SIP) di daerah dan kawasan terlibat juga diminta untuk mengikuti ketetapan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, guru dan pelajar yang terlibat dengan pembukaan semula sekolah disarankan memakai pelitup separuh muka serta mengurangkan aktiviti di luar kelas sebagai langkah berjaga-jaga.
Tambahnya, pelajar yang mengalami akut lelah serius perlu diawasi rapi oleh pihak sekolah.
“Warga sekolah serta ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya mengikuti makluman rasmi pihak berkuasa berhubung perkembangan kualiti udara dan arahan operasi sekolah.
“Maklumat lanjut mengenai operasi dan pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JAIS dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Sekolah agama tiga daerah Selangor kekal tutup esok appeared first on Kosmo Online.





