
SHAH ALAM, 17 SEPT: Lima kawasan di Selangor merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 3 petang ini.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Johan Setia mencatat bacaan IPU tertinggi di Selangor iaitu 159, diikuti Shah Alam (156), Banting (152), Petaling Jaya (144) dan Klang (116).
Klang sebelum ini merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, namun merosot kepada tahap tidak sihat menjelang jam 2 petang.
Selain itu, Tasek Ipoh, Perak mencatat bacaan IPU tertinggi di seluruh negara iaitu 186, manakala Perak menyamai Selangor dengan jumlah kawasan paling banyak merekodkan bacaan tidak sihat.
Kawasan lain di Perak yang mencatat IPU tidak sihat ialah Seri Manjung (180), Pegoh Ipoh (158), Taiping (156) dan Tanjung Malim (115).
Sementara itu, 31 kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana manakala enam kawasan berada pada tahap baik.
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan berbahaya.
Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar yang berpanjangan serta sentiasa mengikuti perkembangan semasa bacaan IPU.






