
LAHAD DATU: Penduduk di daerah ini bangun pada Selasa dengan keadaan berjerebu apabila lapisan jerebu menyelubungi kawasan bandar, menyebabkan langit yang biasanya cerah kelihatan berkabus dan suram.
BEBERAPA kawasan di Lahad Datu berkabus dan suram akibat jerebu.
Tinjauan yang dijalankan di beberapa kawasan di daerah ini mendapati keadaan jerebu lebih ketara dari kawasan tinggi dengan bangunan, jalan raya dan kawasan perumahan kelihatan samar di sebalik selaput jerebu.
Jarak penglihatan berkurangan di beberapa laluan jalan utama namun aliran trafik masih bergerak seperti biasa.
Pemantauan turut mendapati jumlah orang ramai di kawasan terbuka berkurangan dengan orang awam kebanyakannya memilih untuk berada di dalam bangunan berikutan keadaan berjerebu.
Berdasarkan bacaan terkini Indeks Pencemar Udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), kualiti udara di Lahad Datu masih berada pada tahap sederhana dengan bacaan IPU 68.
KEADAAN jerebu di Kunak.
Bacaan IPU di KUNAK pula berada pada tahap sederhana (99) manakala daerah berhampiran Semporna mencatat bacaan pada tahap tidak sihat (143), pada Selasa.
Bacaan IPU yang dikeluarkan oleh JAS Sabah menunjukkan keadaan udara yang berkabus dan berjerebu di banyak kawasan khususnya pantai timur.
Tinjauan Daily Express mendapati keadaan jerebu turut menjejaskan jarak penglihatan di Kunak apabila beberapa kawasan bukit di daratan dan pulau-pulau di perairan laut yang sebelum ini jelas kelihatan semakin terlindung di sebalik kabus jerebu.
Dalam keadaan tertentu, objek atau kawaaan yang berada pada jarak kira-kira empat kilometer dilihat semakin kabur sekali gus menggambarkan kesan jerebu terhadap jarak penglihatan di kawasan berkenaan.
Keadaan jerebu mula kelihatan jelas menyelubungi kawasan pantai timur sejak minggu lalu dan semakin bertambah.
Jerebu yang melanda negeri ini dipercayai turut dipengaruhi oleh asap daripada kebakaran hutan dan tanah di Indonesia, yang dibawa angin merentasi sempadan sehingga menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan di pantai timur Sabah.
Di TUARAN, keadaan jerebu yang menyelubungi beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) hingga ke Kampung Lapasan, Kampung Karambunai Laut, Kampung Gayang dan sekitarnya di sini, mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.
Penduduk, Sani Abdullah, 47, berkata keadaan udara yang kelihatan berkabus dan jarak penglihatan yang semakin terhad menimbulkan kebimbangan, terutama sekiranya keadaan berkenaan berlarutan dalam tempoh yang lebih lama.
Menurutnya, penduduk berharap pihak berkaitan dapat menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan tahap pencemaran udara di kawasan terbabit tidak membahayakan orang ramai. Kebimbangan sama turut disuarakan Mariam Fathie, 36, yang berkata keadaan jerebu menyebabkan penduduk lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di luar rumah.
Katanya, penduduk terutama keluarga yang mempunyai anak kecil perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan udara bertambah buruk.
Sementara itu, Catherine Jusoh, 28, berkata keadaan jerebu yang dapat dilihat di sekitar kawasan berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk mengenai punca serta tahap sebenar kualiti udara ketika ini.
“Penduduk berharap maklumat berkaitan bacaan kualiti udara dapat disalurkan lebih meluas supaya kami tahu tahap keadaan semasa dan tindakan yang perlu diambil,” katanya.
Hendry Bagan @ Nicholas, 32, pula berharap pemantauan dan tindakan sewajarnya dapat dilakukan segera bagi memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk terutama sekiranya keadaan jerebu semakin buruk.



