
PETALING JAYA – Langit kelihatan gelap dan berkabus di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang hari ini menyebabkan ramai menyangka hujan bakal turun, namun keadaan itu sebenarnya berpunca daripada jerebu.
Situasi berkenaan turut menjadi perhatian orang ramai di media sosial apabila beberapa pengguna berkongsi keadaan langit yang kelihatan kelabu serta jarak penglihatan yang terjejas.
Seorang pengguna dikenali sebagai Zul berkata, keadaan langit di sekitar Lembah Klang diselubungi kabus hingga bangunan ikonik seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Merdeka 118 dan Tun Razak Exchange (TRX) tidak kelihatan dari jauh.
“Jerebu ke apa ni ya? KLCC, Merdeka 118, TRX semua tidak kelihatan,” katanya.
Seorang lagi pengguna dikenali sebagai Aen berkata, keadaan langit di sekitar Kuala Lumpur kelihatan sangat gelap sejak pagi tadi.
“Nampak macam mendung nak hujan tapi sebenarnya jerebu Kuala Lumpur, jaga diri semua,” katanya.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang mula mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) hampir tidak sihat.
Setakat pukul 2 petang tadi, bacaan IPU menunjukkan bacaan IPU di Shah Alam ialah 98, Cheras (90), Petaling Jaya (88) dan Batu Muda (89). – KOSMO! ONLINE
The post Langit gelap disangka mendung rupa-rupanya jerebu appeared first on Kosmo Digital.






