SHAH ALAM - Semua sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa pada Khamis, meskipun negeri itu berdepan keadaan jerebu ketika ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan, murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu semasa.
Menurut kenyataan itu, ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap tahap kesihatan anak masing-masing boleh memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah.
"Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran anak kepada pihak sekolah," kata kenyataan itu pada Rabu.
JPN Selangor menegaskan, isu keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan.
Sehubungan itu, kenyataan itu memberitahu, semua pihak diminta terus peka terhadap perkembangan semasa dan mematuhi nasihat pihak berkuasa berkaitan keadaan jerebu.
"Sebarang maklumat lanjut akan disalurkan menerusi saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) dan JPN Selangor," tambah kenyataan itu.






