Jerebu Selangor membimbangkan, IPU Klang tertinggi negara setakat 8 malam

LocalEnvironment
14 Oct 2026 • 8:40 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu Selangor membimbangkan, IPU Klang tertinggi negara setakat 8 malam

SHAH ALAM, 14 OKT: Keadaan jerebu di Selangor semakin membimbangkan apabila enam kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat malam ini, dengan Klang merekodkan bacaan tertinggi negara iaitu 185.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat jam 8 malam, Johan Setia mencatatkan bacaan kedua tertinggi di Selangor iaitu 182.

Shah Alam pula merekodkan bacaan 172, diikuti Banting (168), Petaling Jaya (164) dan Kuala Selangor (121).

Klang turut mengatasi Larkin dan Pasir Gudang di Johor yang masing-masing mencatatkan IPU 184 serta Nilai, Negeri Sembilan (183).

Secara keseluruhan, 30 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara tidak sihat, namun tiada kawasan mencatatkan bacaan melebihi 200 setakat waktu berkenaan.

Di sebalik keadaan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua sekolah di negeri ini akan beroperasi seperti biasa esok, 15 Oktober.

Bagaimanapun, murid digalakkan memakai pelitup muka, manakala ibu bapa yang bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan anak dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan ketidakhadiran kepada pihak pengurusan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyelaraskan tatacara pengoperasian sekolah berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

Melalui penyelarasan itu, katanya, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala penutupan sekolah dilaksanakan apabila bacaan IPU melebihi 200.

Beliau menjelaskan bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh singkat, justeru keputusan pengoperasian sekolah perlu mengambil kira keadaan semasa serta nasihat kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Fadhlina berkata langkah itu penting bagi memastikan keselamatan murid terus diutamakan tanpa menjejaskan kelangsungan pembelajaran.

Orang ramai boleh menyemak perkembangan IPU terkini menerusi portal rasmi APIMS di https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved