Jerebu: Semua sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa esok

LocalEnvironment
14 Oct 2026 • 3:40 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu: Semua sekolah di Selangor beroperasi seperti biasa esok

SHAH ALAM, 14 OKT: Semua sekolah di Selangor akan beroperasi seperti biasa esok (15 Oktober), menurut pemakluman Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) berhubung keadaan jerebu semasa.

JPNS memaklumkan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu semasa.

Menurutnya, ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap tahap kesihatan anak masing-masing boleh memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah.

“Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan ketidakhadiran anak kepada pihak sekolah,” menurut kenyataan hari ini.

JPNS menegaskan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, semua pihak diminta terus peka terhadap perkembangan semasa dan mematuhi nasihat pihak berkuasa berkaitan keadaan jerebu.

Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) dan JPNS.

Terdahulu, lima kawasan di Selangor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 2 petang tadi, dengan Klang merekodkan bacaan tertinggi iaitu 177.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Johan Setia mencatatkan bacaan kedua tertinggi di negeri ini iaitu 176, diikuti Shah Alam dan Banting masing-masing 163 serta Petaling Jaya (156).

Kesemua lima kawasan berkenaan adalah antara 28 lokasi di seluruh negara yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat.

Sementara itu, Kuala Selangor mencatatkan kualiti udara pada IPU sederhana iaitu 92 bersama 37 kawasan lain di seluruh negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved