Malaysia secara rasmi menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan yang menyebabkan masalah jerebu, termasuk menyediakan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 anggota.
Cadangan telah dikemukan kepada Gibrab Rakabuming Raka
Memetik laporan daripada Astro Awani, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, cadangan itu dikemukakan kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka dalam pertemuan di Istana Wakil Presiden, Jakarta pada Khamis.
Jelas Zahid, bantuan tersebut membolehkan Malaysia membantu usaha memadam kebakaran dengan menyiram air di kawasan terbakar, namun ia masih tertakluk kepada keizinan pihak Indonesia.
“Pesawat Bombardier itu akan digunakan untuk membawa air dari tasik, laut atau sungai sebelum disiram ke kawasan yang terbakar, manakala tiga helikopter turut disediakan untuk melaksanakan operasi sama.
“Malaysia sangat prihatin terhadap permasalahan yang berlaku ini kerana ia berlaku setiap tahun sama ada pembakaran secara terbuka di Kalimantan atau Sumatera dan jerebu itu datang ke Malaysia.
“Kami mahu membantu Indonesia untuk sama-sama menangani masalah ini. Setakat ini belum dapat lagi (kebenaran).
“Tadi saya bawa ke Gibran dan beliau akan bawa ke Prabowo untuk persetujuan daripada pemerintah Indonesia. Kami mahu membantu Indonesia untuk sama-sama menangani masalah ini,” katanya dalam sidang media, pada Khamis.

Tak berhasrat campur hal ehwal Indonesia tapi…
Ahmad Zahid memaklumkan, 52 anggota yang disediakan terdiri daripada agensi pengurusan bencana termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, tawaran bantuan itu bukan bertujuan mencampuri urusan Indonesia, sebaliknya sebagai usaha membantu menangani masalah jerebu rentas sempadan.
“Kami tidak berhasrat untuk campur dalam hal ehwal Indonesia tetapi kami ingin membantu supaya masalah jerebu yang datang ke Sarawak khususnya itu dapat diselesaikan segera.
“Pada masa sama, kita akan terus membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia melalui langkah-langkah hubungan diplomatik yang khusus kerana masalah ini berlaku setiap tahun,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua negara juga perlu mengelakkan sebarang tindakan saling menyalahkan dan sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian serta langkah mitigasi bagi mengelakkan masalah sama berulang.
“Paling penting bagi kita ialah menyelesaikan masalah ini sebelum ia berlaku setiap tahun. Ertinya perlu ada pelan mitigasi atau perancangan supaya ia tidak berlaku,” katanya lagi.

Ahmad Zahid menambah, Malaysia turut mempunyai hubungan kerjasama rapat dengan pasukan pengurusan bencana Indonesia menerusi pertemuan, latihan bersama serta penglibatan dalam usaha pengurusan bencana di peringkat serantau.
Sumber: Astro Awani (Khalis Khadir)



