Jerebu: Indonesia agih tong oksigen kepada penduduk

WorldHealth & Fitness
17 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jerebu: Indonesia agih tong oksigen kepada penduduk

PONTIANAK: Jerebu tebal susulan kebakaran hutan di Indonesia semakin menjejaskan kesihatan penduduk apabila mereka yang mengalami kesukaran bernafas terpaksa mendapatkan bantuan silinder oksigen.

Sukarelawan bergerak dari rumah ke rumah di Kalimantan Barat untuk mengagihkan silinder oksigen kepada penduduk dan anggota bomba yang mengalami kesukaran bernafas menerusi kempen dikenali sebagai ‘Rumah Oksigen’.

Seorang penduduk di daerah Kubu Raya, Suriana, 54, berkata kesihatannya semakin merosot apabila kualiti udara bertambah buruk, malah kerap mengalami sesak nafas selepas terdedah kepada asap.

“Keadaan nampaknya semakin teruk sekarang, terutama pada waktu pagi dan petang ketika jerebu berada pada tahap paling tebal,” katanya.

Wilayah Kalimantan Barat di Borneo, antara kawasan paling teruk terjejas akibat kebakaran hutan paling buruk di Indonesia dalam tempoh 11 tahun, susulan keadaan cuaca Super El Nino yang meningkatkan suhu serta mencetuskan kemarau teruk.

Keadaan udara turut bertukar tidak sihat di negara jiran, Singapura dan Malaysia, akibat jerebu rentas sempadan yang biasanya berlaku ketika cuaca lembab di Asia Tenggara.

Ketua sebuah klinik kesihatan awam di Pontianak, Popong Solihat, berkata jumlah kunjungan bagi mendapatkan rawatan penyakit berkaitan pernafasan semakin meningkat susulan kebakaran hutan.

“Jumlah kunjungan harian kini boleh mencecah antara 80 hingga 120 orang,” katanya.

Data Kementerian Kesihatan Indonesia menunjukkan lebih 12.5 juta penduduk terdedah kepada jerebu akibat kebakaran hutan di tujuh wilayah di pulau Borneo dan Sumatera.

Jumlah pesakit yang mengalami penyakit pernafasan berkaitan kebakaran hutan di wilayah terbabit meningkat lebih dua kali ganda kepada 113,336 orang setakat 9 September berbanding 50,891 orang pada 1 September.

Portal Fire Emissions Watch melaporkan jumlah pelepasan asap Indonesia sebanyak 19.7 juta tan metrik dalam tempoh seminggu sehingga 7 September merangkumi lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan global.- AGENSI

 

The post Jerebu: Indonesia agih tong oksigen kepada penduduk appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved