
LIPIS – Kerajaan Pahang memperluas zon penampan melebihi 500 meter di kawasan tertentu bagi melindungi kelestarian sungai dan hutan daripada ancaman aktiviti pembalakan serta pembangunan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu antara usaha kerajaan negeri memastikan sumber alam semula jadi terus terpelihara, terutama ketika berdepan cuaca panas dan penyusutan paras air sungai.
Menurutnya, kelestarian alam sekitar merupakan antara aspek yang diberi perhatian dalam Aspirasi Pahang 1st bagi memastikan sumber semula jadi negeri itu dapat dimanfaatkan secara berterusan.
“Contohnya di Gunung Tahan, kalau dahulu 500 meter, sekarang kita panjangkan lagi melebihi 500 meter sebagai zon penampan yang tidak membenarkan aktiviti pembalakan.
“Pembangunan juga kita kawal kerana kelestarian alam sekitar perlu dijaga dengan baik,” katanya pada Townhall Rakyat Bersama Menteri Besar Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, malam tadi.
Menurut Wan Rosdy, penjagaan kawasan hutan dan sungai penting kerana penyusutan paras air ketika cuaca panas boleh memberi kesan kepada bekalan air serta aktiviti penduduk yang bergantung kepada sungai.
Tambahnya, langkah kawalan terhadap aktiviti pembangunan dan pembalakan juga perlu dilaksanakan bagi membantu melindungi ekosistem semula jadi daripada kemerosotan.
“Pahang mempunyai kawasan hutan seluas kira-kira 3.6 juta hektar, dengan 57.07 peratus daripada keluasan negeri merupakan kawasan hutan simpan. Jadi usaha pemeliharaan alam sekitar perlu terus diperkukuh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pahang perluas zon penampan, lindungi sungai appeared first on Kosmo Online.






