Kayak hidupkan semula Tasik Bera

5 Nov 2026 • 7:41 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kayak hidupkan semula Tasik Bera

BERA: Selain aktiviti berkayak yang diperkenal sejak Februari lalu bagi mengembalikan Tasik Bera di sini, dalam radar pelancongan negara, kerajaan negeri diminta campur tangan bagi menghidupkan semula operasi resort yang terbiar lebih 10 tahun di tasik berkenaan.

Setiausaha Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Bera, Khairul Amin Mohd. Tahir berkata, aktiviti berkayak diteruskan setiap Sabtu dan Ahad tanpa terjejas dengan isu pencerobohan di Tasik Bera kerana lokasinya jauh daripada kawasan terbabit.

Katanya, program itu bertujuan memperkenal semula keindahan Tasik Bera kepada orang ramai sekali gus membuka peluang ekonomi menerusi aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Program ini masih berjalan seperti biasa setiap hujung ming­gu. Isu pencerobohan itu tidak menjejaskan aktiviti berkayak kerana lokasinya jauh di kawasan berbeza. Kita mahu orang ramai terus datang menikmati keindahan Tasik Bera sekali gus membantu menghidupkan semula sektor pelancongan di kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Khairul Amin berkata, selain itu, potensi Tasik Bera sebagai destinasi ekopelancongan perlu disokong dengan kemudahan penginapan yang lengkap termasuk mengaktifkan semula resort yang sudah lama tidak beroperasi.

Katanya, pembukaan semula resort itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada pengunjung, malah mampu memanjangkan tempoh penginapan pelancong dan merancakkan ekonomi penduduk setempat.

“Promosi menerusi media sosial khususnya TikTok mula mendapat perhatian apabila pengunjung dari Johor dan nege­ri lain turut singgah ke Tasik Bera ketika dalam perjalanan ke destinasi lain,” katanya.

Menurutnya, kehadiran keluarga lazimnya lebih menggalakkan ketika cuti sekolah manakala pada hari tertentu terutama Ahad, pihaknya menerima kira-kira lima hingga enam keluarga. – UTUSAN

The post Kayak hidupkan semula Tasik Bera appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved