JHEAT Dedah Logo GISBH Ditemui Pada Badan Kuda

LocalPolitics
23 Sep 2024 • 10:10 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sejak awal September lalu, hangat diperkatakan mengenai sebuah organisasi atau syarikat yang dikenali sebagai GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Segalanya bermula apabila tular di media sosial mengenai dakwaan organisasi tersebut terlibat dengan ajaran sesat serta mengeksploitasi kanak-kanak.

Namun, GISBH sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan mereka berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti eksploitasi seperti yang didakwa.

Pun begitu sehingga kini, ada sahaja berita pendedahan yang melibatkan syarikat GISBH ini. Malah, baru-baru ini media melaporkan pemimpin kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH serta isteri dan keluarganya turut ditahan.

Badan Kuda Dicop Dengan Logo GISBH

Terbaharu, sebanyak 13 ekor kuda di sebuah pusat latihan berkuda yang didakwa mempunyai kaitan dengan GISBH di Kampung Mengabang Panjang, Kuala Nerus, Terengganu didapati ada cop logo GISBH.

Penemuan itu merupakan hasil daripada serbuan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 21 September lalu di pusat latihan tersebut. 

Menurut Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz, ada di antara cop logo tersebut berada di bahagian atas kaki hadapan kuda dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pihak polis.

Difahamkan, pusat latihan berkuda itu dipercayai disewa oleh pengikut GISBH dan terletak di hadapan sebuah banglo mewah berpagar tembok di tepi pantai.

“Hari ini (22 September), saya pergi lagi ke sana tapi sudah tidak boleh masuk sebab telah berkunci kerana difahamkan tempat itu mereka sewa. Kuda tersebut juga tiada lagi di situ.

“Tiada maklumat setakat ini siapa yang membawanya keluar,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Nota Tulisan Tangan Turut Ditemui Pada Bahagian Dinding Pusat Latihan Berkuda

Tambah Aizi Saidi, dia turut dimaklumkan mengenai penemuan satu nota tulisan tangan pada bahagian dinding pusat latihan tersebut yang menyebut mengenai pembalasan di akhirat.

“Pada pandangan saya, pesanan itu menunjukan rasa marah mereka terhadap apa yang berlaku sekarang. Mereka menganggap kita musuh dan mengacau aktiviti mereka, sedangkan kita nak cari penyelesaian,” katanya.

image is not available
Foto: JHEAT

JHEAT Telah Kenal Pasti Premis Yang Dipercayai Terlibat Dengan GISBH

Pada masa yang sama, Aizi Saidi memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti beberapa premis di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan itu.

“Sebelum ini ada beberapa serbuan oleh pihak berkuasa antaranya membabitkan sebuah asrama di Kuala Terengganu. Tapi kita masih tiada maklumat sama ada asrama itu adalah rumah amal yang dihuni anak-anak pengikut GISBH atau tidak. Ketika serbuan asrama itu juga kosong.

“Laporan yang kita ada setakat ini akan dibentangkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) esok (23 September),” katanya.

Sebelum ini, Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun menjelaskan Terengganu hanya akan mengeluarkan fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran GISBH sebagai sesat sekiranya ada bukti yang jelas.

“Biasanya MKI akan putuskan bahawa (sesuatu) ajaran sesat dan selepas itu Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu mengeluarkan fatwa berkenaan perkara tersebut.

“Di Terengganu setakat ini tiada aduan berhubung ajaran tersebut. Sekiranya ada aduan, kita akan bermuzakarah serta tunggu keputusan daripada MKI dan apabila ada bukti-bukti kukuh yang jelas barulah kita fatwakan ajaran dalam GISBH itu sesat,” katanya.

Source: