KPJ Healthcare berpotensi catat prestasi positif pada 2HFY25 didorong pertambahan pesakit, kata Maybank IB

02/09/2025 - 10:05
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 2 Sept - KPJ Healthcare Berhad berpotensi mencatatkan prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25), didorong peningkatan kerumitan kes (case-mix complexity), pertambahan jumlah pesakit serta penambahbaikan margin daripada inisiatif penjimatan kos.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan saranan "beli" terhadap saham KPJ Healthcare dengan harga sasaran (TP) RM3.00 sesaham.
Katanya, bagi suku kedua 2025 (2QFY25), KPJ Healthcare merekodkan pertumbuhan hasil, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan keuntungan bersih teras masing-masing sebanyak 11%, 6% dan 4%.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, kelemahan bermusim akibat perayaan serta tekanan daripada pihak pembayar (payor pressures) telah mengekang prestasi suku tersebut.
“Walaupun separuh pertama tahun ini lebih perlahan daripada jangkaan, kami kekal optimis terhadap separuh kedua 2025.
"Peningkatan kes yang lebih kompleks, pertambahan jumlah pesakit tempatan dan antarabangsa serta keberkesanan langkah penjimatan kos dijangka menyokong pertumbuhan margin,” katanya dalam satu nota kajian.
Selain itu, Maybank IB berkata, hasil kumpulan dijangka terus meningkat berikutan permintaan terhadap prosedur berteknologi tinggi seperti rawatan robotik.
Katanya, KPJ Healthcare juga dilihat berada di hadapan dalam rancangan peluasan kapasiti, dengan jumlah katil 3,930 pada akhir 2QFY25, iaitu 95% daripada sasaran tahun ini.
Empat daripada enam hospital baharu syarikat itu kini sudah mencatatkan EBITDA positif.
Dengan unjuran margin EBITDA sekitar 24% bagi FY25-FY27 dan pertumbuhan purata keuntungan bersih tahunan tiga tahun ke hadapan sebanyak 29%, Maybank IB percaya terdapat potensi penilaian semula sekiranya inisiatif penjimatan kos dan intensiti hasil terus memperkukuh margin dalam tempoh akan datang.- DagangNews.com
standard
