Pengumuman Barisan Nasional (BN) yang setakat ini menamakan calon bagi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat memberi bayangan positif terhadap kemungkinan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Menurut laporan Sinar Harian, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan itu selari dengan gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus menunjukkan pendekatan berkenaan mula mendapat penerimaan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin PN.
“Saya melihat pengumuman (calon BN) semalam sebagai satu pembaharuan dalam hubungan BN dan PN sepertimana disebut Presiden UMNO mengenai Rumah Bangsa dan menandakan pendekatannya semakin diterima.
“Saya percaya sekiranya hubungan antara BN dan PN kekal, ia akan membawa banyak kebaikan pada masa hadapan.
“Malah bukan sahaja mampu menyumbang kemenangan di Negeri Sembilan, tetapi juga (pilihan raya) di seluruh negara,” kata bekas Naib Presiden UMNO itu.

Foto arkib: FMT
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari Perhubungan Awam Sedunia (WPRD) 2026 Ke-2 di Taylor’s University, Subang Jaya hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid memaklumkan pengumuman rasmi mengenai kerjasama BN dengan rakan politik bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan ke-16 dijangka dibuat pada malam ini.
Menurut beliau, BN setakat ini hanya mengumumkan calon bagi 25 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN, manakala baki 11 kerusi akan ditentukan oleh rakan kerjasama yang terlibat, namun beliau tidak memperincikan identiti parti berkenaan.
Sumber: Sinar Harian (Aisyah Basaruddin)






