‘Jika lambat 10 minit, kami mungkin sudah tiada’

WorldEnvironment
31 Aug 2026 • 9:54 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Jika lambat 10 minit, kami mungkin sudah tiada’

KATHMANDU – Tindakan pantas seorang guru besar di Nepal dipercayai berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 900 pelajar selepas beliau mengarahkan pemindahan segera hanya beberapa minit sebelum gelombang banjir besar melanda sekolahnya, lapor agensi berita Jerman dpa.

Guru Besar Sekolah Menengah Tribhuvan Trishuli di daerah Nuwakot, Rajenda Dawadi memberitahu dpa pada Ahad bahawa, beliau mengetahui mengenai banjir yang semakin menghampiri menerusi beberapa panggilan telefon kira-kira 15 minit sebelum ia melanda kawasan berkenaan.

“Saya berkata kepada diri sendiri: jika tiada banjir, kami hanya kehilangan satu hari persekolahan.

“Tetapi jika banjir benar-benar berlaku, kami semua mungkin kehilangan nyawa,” kata Dawadi ketika menjelaskan keputusannya mengarahkan pemindahan segera.

Seramai 900 pelajar di sekolah itu segera menyelamatkan diri dengan berjalan kaki.

Keadaan panik tercetus seketika ketika mereka bergegas keluar, manakala seorang pelajar perempuan dibawa ke hospital dengan motosikal selepas pengsan.

Dawadi turut sempat mengarahkan bas sekolah yang dilaporkan membawa ratusan lagi pelajar dalam perjalanan ke sekolah supaya berpatah balik.

“Jika kami membuat keputusan itu 10 minit kemudian, kami semua, termasuk pelajar dan saya sendiri, mungkin tidak dapat bercakap dengan anda hari ini,” katanya kepada BBC.

Sekolah itu terletak di tebing Sungai Trishuli yang dilanda gelombang banjir besar pada Rabu.

Angka korban akibat banjir itu meningkat kepada lebih 800 orang di Nepal dan China, dengan beberapa perkampungan musnah selain kerugian ekonomi yang besar.

Lebih 3,000 orang masih hilang di kedua-dua belah sempadan, termasuk ratusan warga asing.

Seorang daripada pelajar yang diselamatkan Dawadi, Yunisha, 16, memberitahu BBC bahawa dia sempat tiba di tempat selamat hanya beberapa saat sebelum banjir melanda dengan berlari menaiki kawasan berbukit melalui laluan berlumpur di belakang sekolah, manakala perkampungan di belakangnya musnah akibat dihanyutkan arus dan puing.

Dawadi berkata, hampir tiada apa yang tinggal daripada bangunan sekolah itu.

Sekurang-kurangnya seorang kakitangan sekolah maut dalam banjir berkenaan. – Bernama

The post ‘Jika lambat 10 minit, kami mungkin sudah tiada’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved