
NUWAKOT: Tindakan pantas seorang pengetua berjaya menyelamatkan nyawa 900 pelajarnya daripada bencana banjir di Nepal dengan memindahkan mereka ke kawasan selamat hanya 10 minit sebelum arus air deras menghentam kawasan sekolah.
Pengetua Sekolah Menengah Tribhuvan Trishuli di Nuwakot, Rajendra Dawadi memberitahu BBC beliau menerima empat panggilan telefon bertali-arus pada pukul 9.10 pagi waktu tempatan yang memberi amaran mengenai bencana tersebut yang kini mengorbankan lebih 800 nyawa.
Beliau bertindak pantas membuat keputusan untuk mengosongkan kawasan sekolah, mengarahkan murid-murid berlari ke kawasan tanah tinggi serta memerintahkan bas-bas yang penuh dengan pelajar untuk berpatah balik bagi melarikan diri dari kawasan bahaya.
“Sekiranya kami tidak membuat keputusan dengan pantas atau terlambat 10 minit sahaja, kami semua termasuk para pelajar dan saya sendiri tidak akan berada di sini untuk bercakap dengan anda hari ini,” kata Dawadi.
Panggilan amaran daripada empat individu berbeza dalam tempoh beberapa minit itu membantu beliau menilai tahap bahaya yang semakin menghampiri.
“Ada ibu bapa datang dan memberitahu saya bahawa banjir besar sedang melanda dan mahu mengambil anak perempuannya. Ibu bapa tidak akan tergesa-gesa tanpa alasan yang kukuh, jadi ia mengesahkan bahawa saya tidak boleh membazirkan walau satu saat pun untuk memindahkan kanak-kanak ini.
“Saya memutuskan untuk tidak bertangguh lagi. Walaupun jika banjir itu tidak berlaku, ia hanyalah kerugian sesi persekolahan untuk sehari sahaja. Saya rasa bangga kerana kami berjaya menyelamatkan begitu banyak nyawa,” katanya.
Kejadian banjir yang memusnahkan sebahagian kawasan di Nepal pada Rabu lalu serta menyebabkan sekurang-kurangnya 2,426 penduduk masih hilang, merempuh bangunan sekolah berkenaan sehingga tertimbus di bawah timbunan lumpur dan tiang binaan.
Dawadi mendedahkan arus air sampai dengan begitu cepat sehingga sebuah bangunan asrama yang terletak kira-kira 100 meter dari tebing sungai terus ditenggelami air dalam sekelip mata.
Pelajar berusia 16 tahun, Yunisha Amatya, menceritakan bagaimana dia dan rakan-rakannya menyelamatkan diri ke kawasan selamat sejurus sebelum banjir menenggelamkan sekolah mereka.
“Saya dan rakan-rakan terselamat dengan beza masa hanya 10 saat. Sejurus sebelum banjir sampai, kami berada di dalam kelas sedang belajar.
“Pada mulanya guru-guru berkumpul di satu tempat dan tidak pasti apa yang sedang berlaku. Selepas lima minit, guru-guru datang memaklumkan mengenai banjir dan mengarahkan kami pulang ke rumah,” katanya.
Disebabkan laluan jalan raya yang terputus dan perkhidmatan pengangkutan yang terganggu, ramai antara mereka terperangkap selama dua malam sebelum bantuan penyelamat tiba di lokasi kejadian. -BBC
The post Pengetua selamatkan 900 pelajar 10 minit sebelum banjir appeared first on Utusan Malaysia.






