“Jika memang tiada rezeki…” – Isu Stoking, Shuib Sedia Undur Diri Sebagai Duta KK Mart

Entertainment
21 Mar 2024 • 10:56 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Isu stoking tertera kalimah Allah semakin hangat diperkatakan walaupun pihak kilang dan pihak pengurusan kedai serbaneka yang terlibat sudah pun membuat permohonan maaf.

Sebagai individu beragama Islam, pelawak dan usahawan, Shuib yang juga merupakan duta KK Mart tidak akan berkrompomi dengan isu tular ini.

Menurut Shuib atau nama penuhnya Shahmira Muhammad, 40, kecuaian sehingga menyentuh sensitiviti agama tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana bidang perniagaan.

“Sebagai seorang umat Islam saya akui terkesan dan perkara sebegitu tak sepatutnya berlaku dalam mana-mana bentuk perniagaan atau pun situasi.

“Kita akan marah sebab kalimah Allah ini benda yang terlalu besar. Kalau benar, saya tidak akan menyokong, saya tak akan mengiyakan langsung sebab ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam,” katanya.

image is not available

Tegasnya, kalimah Allah pada stoking merupakan penghinaan buat umat dan agama Islam dan beliau turut berasa marah kerana isu ini tidak sepatutnya berlaku.

“Perkara yang terjadi itu sangat keji, ini yang saya boleh cakap.

“Apa pun, isu ini masih belum selesai dan siasatan masih dijalankan, jadi saya tidak boleh ulas lanjut kerana melibatkan perniagaan dan juga sensitiviti orang lain.

“Saya akan teguh berdiri sebagai seorang umat Islam yang tidak akan sesekali menyokong sesuatu perkara salah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Shuib mengakui sedia melepaskan tanggungjawabnya sebagai duta sekiranya kedai serbaneka itu terbukti bersalah kelak.

“Saya sentiasa percaya pada konsep rezeki. Jika memang tiada rezeki saya maka tiadalah dan sebaliknya.

“Tetapi macam mana pun saya tetap kena meletakkan prinsip bahawa saya adalah seorang Islam,” katanya.

Semalam, kilang yang terletak di Batu Pahat, menutup operasi melalui satu memo yang ditampal pada kain rentang di pagar premis itu.

Ia sehari selepas kilang terbabit diserbu polis yang menemukan lima pasang stoking dengan kalimah Allah di dalam premis terbabit.

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.