SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor sedang menunggu laporan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi mengenal pasti pemilik tanah di Setia Alam di sini yang menjadi kawasan penempatan haram warga asing.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya menghantar surat kepada MBSA bagi mendapatkan maklumat lanjut pemilik tanah serta tindakan pada premis haram yang dibina.
"Perkara itu akan disemak oleh MBSA untuk pastikan siapa tuan tanah.
"Selepas dapat maklumat itu, baru kita ambil tindakan lanjut termasuklah memanggil pemilik tanah bagi siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, tiga penempatan haram diserbu JIM bermula kira-kira jam 11.50 malam, Jumaat.
Op Bersepadu Mega itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan MBSA.
Sinar Harian difahamkan, setiap penempatan dilengkapi kemudahan elektrik dan air terbabit menempatkan 40 hingga 80 unit rumah.
Hasil serbuan ke atas penempatan haram yang wujud antara lima hingga sembilan tahun yang lalu berjaya menahan 214 disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan 120 lelaki, 65 wanita, 16 kanak-kanak lelaki serta 13 kanak-kanak perempuan berusia satu bulan hingga 80 tahun.
Tngkapan membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Sri Lanka.

