Jimat bayar saman trafik di aplikasi MyBayar Saman sekarang, dapatkan 60% potongan harga

21 Mar 2023 • 5:28 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Anda ada saman trafik yang masih belum dibayar? Jika ada, lebih baik anda bayar sekarang sebab Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berikan pengurangan kompaun saman trafik secara dalam talian sehingga 60%!

Tawaran ini diberikan bersempena peringatan hari Polis ke-216. Anda boleh dapatkan diskaun bermula hari ini sehingga 31 Mac 2023. Tapi, ia tertakluk kepada saman terpilih sahaja dan tidak termasuk 11 jenis kesalahan ini:

  1. Kemalangan
  2. Kesalahan bicara mahkamah (M)
  3. Saman berstatus waran (W)
  4. Kesalahan berkaitan kenderaan berat (Lori)
  5. Memotong secara berbahaya
  6. Menggunakan lorong kecemasan
  7. Kesalahan tidak boleh kompaun (NC)
  8. Tidak patuhi isyarat lampu merah
  9. Memotong di garisan berkembar
  10. Kesalahan pengubahsuaian ekzos
  11. Saman berstatus OP Selamat

Jika saman yang anda terima tidak dinyatakan di atas, seperti berhenti di petak kuning, memandu di lorong bas atau pusing U di tempat yang tidak dibenarkan, maka bolehlah anda cuba dapatkan diskaun ini.

Dengan mudah, anda boleh periksa dan bayar saman melalui laman web MyBayar atau aplikasi MyBayar Saman di App Store dan Google Play. Anda juga boleh lakukannya secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara. Selain itu, anda boleh juga semak senarai kesalahan dan kadar bayaran kompaun asal di laman web rasmi JPJ di sini.