Jimat RM1.8 bilion menerusi proses tender terpilih projek RTB: Anwar

LocalPolitics
22 Dec 2022 • 8:26 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Proses tender terpilih untuk cadangan projek rancangan tebatan banjir (RTB) akan membolehkan penjimatan RM1.8 bilion kepada kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan RM15 bilion untuk RTB menerusi rundingan terus tanpa tender menyebabkan kos projek melambung.

Justeru, beliau berkata Kementerian Kewangan (MOF) diarah berunding semula dengan syarikat berkaitan menerusi proses tender terpilih.

“Bayangkan RM1.8 bilion boleh diselamatkan dari projek RM15 bilion. Ini isu tatakelola yang baik, pimpinan harus pastikan jangan ada ketirisan, bukan soal politik tetapi soal rakyat.

“RM1.8 bilion kalau dipulangkan kepada penjaja, bayangkan...,“ katanya pada Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK 2022), di sini hari ini.

Menurut Anwar soal tatakelola dan kebertanggungjawaban pengurusan kewangan perlu diutamakan dalam pemerintahan dan membela nasib rakyat.

Pada 6 Dis lepas, Anwar mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan RM15 bilion yang dilaksanakan menerusi rundingan terus supaya diteliti semula. - Bernama