Jiwa Besar Di Sudut Dunia Yang Kecil

Opinion
1 Feb 2026 • 10:00 AM MYT
Zakiah Senin
Zakiah Senin

30 years of shaping communities through volunteerism and character building

Image from: Jiwa Besar Di Sudut Dunia Yang Kecil
Photo credit; ChartGPT Image

Di dalam satu misi bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri, kami dibawa oleh ketua kampung ke sebuah rumah yang agak uzur tetapi kelihatan bersih, terjaga serta di kelilingi oleh pokok-pokok bunga yang subur dan indah. Menurutnya, rumah ini dihuni oleh seorang ibu tunggal bersama sembilan orang anaknya, suaminya pula sudah enam tahun berada di penjara atas sebab yang tidak dimaklumkan. Kami bersalaman dengan ibu dan lima anaknya yang berumur antara 5 tahun hingga 12 tahun, masih kecil dan comel. Dua anaknya yang lain berada di asrama penuh dan dua lagi melanjutkan pelajaran ke universiti.

Di dalam hati kami berdetik, sungguh cekal hati si ibu ini membesarkan sembilan orang anak seorang diri. Anak-anaknya pula bukan sebarangan, mampu mencipta kejayaan meski meniti ranjau kemiskinan. Di mana puncanya kekuatan mereka? Apa rahsianya? Soalan itu bermain-main di fikiran kami.

Kami dipelawa masuk ke rumah, sebahagiannya mengangkat barangan keperluan dapur dan sebahagiannya duduk bermain dengan anak-anak dan berbual-bual dengan ibu tersebut. Saya memerhati sekeliling rumah, ruang tamunya kosong hanya ada sehelai tikar mengkuang terdampar. Tiada televisyen dan tiada sebarang perabot. Namun terdapat empat rak buku yang semuanya telah senget menghiasi dinding rumah. Sekali pandang umpama perpustakaan. Saya tersenyum sendiri. Tiba-tiba di sudut rumah saya terpandang sebuah komputer riba. Komputer riba siapa?. Komputer ini digunakan untuk apa? Atau kepunyaan anak di universiti, tetapi mengapa tidak dibawa? Atau kegunaan anak-anak yang masih bersekolah rendah? Main games? Komputer riba antara barang yang mahal, jika tidak mampu mengapa harus dibeli? Soalan bertubi-tubi datang.

Tika itu, saya mula menyusun ayat-ayat yang sesuai bagi mendapatkan kepastian. Soalan pertama, “Laptop anak akak ke tu?” Sambil jari menuding sopan ke sudut rumah. “Tak… akak punya?” Jawabnya tenang. Ha? Buat apa? Hati ini menggerutu. “Ooooh… ye lah sekarang ni kalau nak dapat apa-apa maklumat, senang je kan kak…google.” Sengaja jawapan itu diberikan untuk memancing perbualan selanjutnya. Ibu ini ketawa kecil sambil mengangguk kepala. “Dah lama akak nak laptop, yang mampu second hand ni lah, ini pun lepas menabung tiga tahun duit gaji, simpan sikit-sikit. Ye lah gaji pun tak besar mana..” Katanya perlahan. “Penting laptop ni kan kak...” Saya berkata lagi umpama menyokong, sebenarnya ingin tahu apa kepentingan laptop untuknya sehingga sanggup menyimpan wang dan membelinya?

“Ya betul, dengan laptop ni akak boleh promote buku dan jual buku-buku yang sedia ada. Jadi, akak boleh lah dapat komisyen dari penulis-penulis tu.” Ok... kami mula memperoleh jawapan dari ibu ini. “Sekarang ni pula. akak banyak tanam pokok-pokok bunga keliling rumah, akak ambil gambar dan letak kat blog. Jual. Alhamdulillah, ramai yang berminat dan ada dah yang datang beli.” Padanlah sekitar rumahnya umpama mini nursery. Ini ibu yang bijak! Padanlah anak-anaknya bijak sebab ibunya seorang yang bijak menyusun hidup.

“Semalam ada orang datang beli pokok, dapatlah akak RM80. Alhamdulillah… dapat akak bayar zakat fitrah untuk akak dan anak-anak nanti.” Allahuakbar! Hati ini terus sebak. Seorang ibu yang sedar bahawa tiada satu pun persiapan hari raya mampu dibuat, malah kadangkala untuk berbuka puasa pun sekadar nasi kosong dan kicap semata-mata. Hakikatnya merekalah penerima zakat, tetapi tetap memperuntukkan wang yang diperolehinya untuk membayar zakat. Padanya, meskipun dia dan anak-anak susah, masih lagi ada yang lebih susah dan dia wajib membantunya! “Allah pemilik langit dan bumi. Allahlah pembuka segala pintu rezeki. Janganlah susah hati. Usaha sahaja. Buatlah kebaikan. Insya-Allah ada kebaikan untuk kita suatu hari nanti.” Itulah kata-kata akhir ibu ini sebelum kami melangkah pulang. Insan ini membuatkan kami mengaguminya dan kami mengakui bahawa inilah rahsia kehebatan keluarga ini.

(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com

Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.


Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.