
Malaysia adalah salah satu negara di dunia yang rakyatnya boleh mencampurkan tiga hingga lima bahasa dalam satu perbualan, atau satu lorong di taman perumahan dihiasi aroma dua puluh jenis masakan, atau nama-nama pada kedai memiliki cerita tersendiri. Tidak ada tempat lain di dunia ini yang menyaksikan semua itu dirangkum dengan begitu indah di sebuah tanah.
Namun di sebalik anugerah yang begitu luar biasa, kita membiarkan golongan yang paling sinis meracuninya secara perlahan dan halus, tetapi mendalam.
Kita berbilang budaya, berbilang kaum, berbilang bahasa dan hidup dengan penuh harmoni. Namun daripada merangkul semuanya sebagai kekuatan yang telah lama terbukti, kita membiarkan lelaki-lelaki kecil dengan suara lantang dan keinginan gelap menukarnya menjadi senjata. Kita membenarkan kepentingan politik merendahkan sebuah tamadun agung menjadi keraguan kecil yang menyedihkan. Kita membenarkan ahli akademik yang berniat sempit dan cetek ilmu memintal semula sejarah kita, mereka cerita baharu, memadam sumbangan dan memperlekeh pengorbanan, hanya untuk menampung kerangka agenda mereka yang sempit.
Itulah tragedi sebuah negara yang dilimpahi pelbagai anugerah, namun memilih untuk merasa seperti negara yang kurang segalanya.
Dan kemudian, dengan kontras yang hampir menyakitkan, kita memandang ke seberang tambak. Singapura; negara yang kurang berbilang kaum, jauh lebih kecil, jauh lebih muda meraikan setiap serpihan budaya yang mereka temui. Di semua sela keraguab kita, mereka memeluknya. Di tempat kita bertelingkah, mereka mengekalkannya. Dan akhirnya, nasi ayam Ipoh menjadi nasi ayam Singapura. Mi kita menjadi mi Singapura. Laksa kita, chicken chop kita, roh kulinari kita dibungkus semula dan diperkenalkan kepada dunia dengan keyakinan yang sepatutnya pernah menjadi milik kita.
Kita kalah bukan kerana mereka merampasnya. Kita kalah kerana kita melepaskan ia pergi.
Kita melepaskan rasa bangga, keberanian dan hak kita terhadap kisah kita sendiri.
Dan inilah kebenaran yang memeritkan.
Sarawak dan Sabah tahu perkara ini.
Mereka membawa identiti mereka dengan ketenangan yang sentiasa kita lupakan.
Mereka meraikan perbezaan tanpa rasa gentar, penuh harmoni dan dengan penuh rasa hormat.
Sementara itu, di Malaya, Semenanjung ini sering berbalah seperti adik yang sering gelisah, mudah digoyah, terlalu mudah dipujuk oleh mereka yang tidak mencintai Malaysia, tetapi hanya mencintai kuasa yang terbit daripada perpecahannya.
Ini tidak boleh dibiarkan berterusan.
Malaysia tidak boleh, dan tidak patut, menjadi tebusan individu dan organisasi yang perniagaan mereka ialah ketakutan, yang membancuh kebencian kerana kebencian itu membawa untung, yang bergantung pada kecurigaan kerana kecurigaan lebih mudah dipersenjatai daripada ilmu, yang tidak peduli akan jiwa Malaysia kecuali untuk memotong serpihannya agar mereka kekal relevan.
Sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia bangkit. Bangkit dengan jiwa yang luka, tetapi tegas untuk menolak politik perpecahan dalam setiap pilihan raya, pada setiap peringkat, tanpa mengira parti, warna atau panji.
Bangkit dan tentang mereka yang memecahbelahkan kita kerana merekalah ancaman paling senyap dan juga paling berbahaya kepada masa depan kita.
Kita bukan lagi sebuah negara yang menunggu untuk menjadi sesuatu.Kita sudah pun sesuatu.
Kita pemimpin ASEAN yang diiktiraf. Kita sebuah negara yang kepelbagaiannya bukan beban, tetapi anugerah; satu kuasa yang hanya boleh hidup jika kita benar-benar memilih untuk mengakuinya.
Dan hari ini, setelah sekian lama, kita punya seorang Perdana Menteri yang tidak gentar terhadap kepelbagaian dimiliki, malah memilih untuk meraikan semua perbezaan yang wujud.
Seorang Perdana Menteri yang melihat perbezaan bukan sebagai rekahan, tetapi sebagai asas kepada kekuatan, kekayaan dan kelebihan kita.
Namun beliau tidak boleh memikul semua ini seorang diri.
Mereka yang berdiri di sisinya dan mereka yang ingin menggantikannya harus mendengar satu pesan yang lebih berat daripada slogan apa pun:
Majoriti senyap tidak lagi mahu berdiam diri. Dan kitalah majoriti itu.
Inilah Malaysia kita.
Identiti kita.
Kisah kita.
Jiwa kita.
Dan sudah sampai masanya untuk kita menjaga semua ini.
Jaga bukan dengan amarah, bukan dengan kebencian. Tetapi dengan ketegasan, dengan keteguhan dan dengan cinta yang tidak mudah dilihat tetapi tetap ada.
Kerana takdir Malaysia tidak akan ditulis oleh mereka yang memecahbelahkan. Ia akan ditulis oleh mereka yang benar-benar percaya kepadanya.
Dan kita adalah majoriti itu. - Getaran, 30 November 2025





