KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) digesa menjelaskan secara terperinci layanan kawal selia terhadap kargo petroleum yang menjalani proses pengadunan bagi menghasilkan Very Low Sulphur Fuel Oil (VLSFO) di kemudahan di bawah kawalan kastam.
Pemain Industri Maritim, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, penjelasan itu penting bagi menentukan sama ada petroleum yang dibawa masuk di bawah prosedur K8 masih boleh dianggap sebagai kargo untuk tujuan penyimpanan atau transit selepas dicampurkan dengan aliran petroleum lain.
"Persoalan utama timbul apabila petroleum yang disimpan dalam tangki kemudiannya diadun dengan produk petroleum lain sehingga menghasilkan produk komersial yang berbeza.
"Jika produk petroleum yang berbeza dicampurkan dalam tangki yang sama untuk menghasilkan VLSFO, adakah ia masih boleh dianggap sebagai penyimpanan atau transit, atau adakah kargo itu sebenarnya telah berubah menjadi produk baharu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse akan membangkitkan di Parlimen kebimbangan berhubung ketidakpastian percukaian kargo minyak yang dicampurkan dan disimpan dalam tangki darat di Pelabuhan Tanjung Langsat.
Beliau yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai ekonomi dan kewangan berkata, akan menggesa jawatankuasa itu memanggil pihak berkaitan bagi memberikan penjelasan serta membincangkan penyelesaian terhadap isu berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada 13 Ogos lalu dilaporkan berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada MOF berhubung kebimbangan mengenai layanan cukai terhadap kargo minyak yang dicampurkan.
Loke berkata, kementeriannya masih belum dimaklumkan mengenai sebarang cukai baharu terhadap kargo berkenaan, sambil menambah perkara itu berada di bawah bidang kuasa JKDM dan MOF.
Jeyenderan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd berkata, JKDM perlu menjelaskan sama ada pengisytiharan K8 asal masih terpakai selepas petroleum menjalani proses pengadunan atau produk yang terhasil perlu diisytiharkan secara berasingan.
Katanya, perkara itu turut mempunyai implikasi terhadap pengendalian duti dan cukai sekiranya petroleum yang dibawa masuk ke Malaysia di bawah pengaturan kawalan kastam kemudiannya diadun menjadi VLSFO sebelum dieksport atau dikeluarkan dari kemudahan berkenaan.
“Isunya bukan semata-mata sama ada kerajaan perlu mengenakan cukai baharu, tetapi sama ada peraturan kastam, zon bebas, gudang berlesen dan peraturan berkaitan petroleum sedia ada dilaksanakan secara konsisten apabila berlaku perubahan fizikal atau komersial terhadap kargo,” katanya.
Beliau berkata, aspek kebolehkesanan kargo juga perlu diberi perhatian, terutama apabila tangki penyimpanan darat sudah mempunyai inventori petroleum sebelum kargo baharu dipunggah.
Jelasnya, pengendali terminal perlu mampu menunjukkan jumlah petroleum yang memasuki tangki, inventori sedia ada, kuantiti yang digunakan dalam proses pengadunan serta jumlah produk yang akhirnya dikeluarkan.
"Dengan sistem imbangan jisim (mass balance) yang jelas, JKDM dapat menyemak dan memadankan jumlah kargo serta menentukan pergerakan dan pengendalian setiap kargo petroleum, khususnya apabila beberapa aliran petroleum dicampurkan dalam tangki yang sama," katanya.
Dalam pada itu, Jeyenderan mempersoalkan sama ada rangka kerja sedia ada berpotensi membolehkan syarikat menikmati layanan yang bertujuan untuk aktiviti transit atau penyimpanan, pada masa sama menjalankan aktiviti pengadunan yang meningkatkan nilai komersial produk petroleum.
"Persoalan berkenaan menjadi lebih penting susulan kontroversi membabitkan hampir 77,000 tan kargo petroleum yang diisytiharkan di bawah K8 di Tanjung Langsat, Johor.
"Apabila kargo dipunggah ke dalam tangki yang sudah mempunyai inventori sedia ada, persoalannya ialah bagaimana rekod dan kebolehkesanan kargo asal dapat dipastikan dengan tepat,” katanya.
Beliau berkata, kejelasan berhubung perkara itu penting bagi memastikan setiap kargo petroleum dapat dijejaki serta layanan kastam yang diberikan selaras dengan aktiviti sebenar yang dijalankan di terminal.






