SPRM digesa beri penjelasan isu laporan campuran kargo petroleum

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 9:53 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SPRM digesa beri penjelasan isu laporan campuran kargo petroleum

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memberi maklum balas bertulis secara substantif berhubung laporan yang dibuat pada Jun lalu mengenai dakwaan pencampuran atau pengadunan kargo petroleum.

Pemerhati industri maritim, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, pihaknya masih belum menerima maklum balas rasmi bertulis meskipun laporan telah dibuat sejak 5 Jun lalu bagi mengesahkan status laporan atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap perkara berkenaan

Dalam surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abdul Halim Aman semalam (18 Ogos), beliau berkata, syarikatnya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan, termasuk mengemukakan dokumen dan maklumat, menghadiri mesyuarat serta memberikan penjelasan apabila diminta.

“Objektif kami hanyalah untuk mendapatkan pendirian rasmi dan arahan yang jelas mengenai bagaimana operasi yang terjejas boleh diuruskan secara sah dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataaan.

Beliau berkata ketiadaan maklum balas rasmi itu telah mewujudkan situasi operasi yang serius, khususnya kerana keputusan berkaitan pengendalian, pergerakan dan pengurusan kargo petroleum tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak menentu tanpa had.

“Keputusan yang menjejaskan pengendalian, pergerakan dan pengurusan kargo petroleum tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak menentu.

“Operasi kami memerlukan hala tuju kawal selia yang jelas, namun tiada pihak berkuasa memberikan pendirian bertulis yang muktamad mengenai perkara yang boleh diteruskan, perkara yang perlu digantung, kawalan tambahan yang diperlukan atau agensi yang bertanggungjawab membuat penentuan tersebut,” katanya.

Jeyenderan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd menegaskan, isu berkenaan bukan sekadar pertikaian komersial persendirian kerana ia boleh menjejaskan integriti dan kebolehkesanan kargo petroleum, pematuhan kastam serta peraturan petroleum, hasil kerajaan dan aspek akauntabiliti dalam rantaian bekalan.

Beliau turut memberi amaran bahawa ketiadaan respons yang diselaraskan boleh menyebabkan pihak berkuasa atau pihak berkepentingan mengambil pendirian yang tidak selaras.

“Kami tidak boleh dijangka menguruskan operasi berdasarkan komunikasi tidak rasmi, tidak lengkap atau bercanggah sementara laporan rasmi dikatakan masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau turut meminta penjelasan sama ada sebarang keputusan telah dibuat bahawa tiada kes, sama ada perkara itu telah ditutup dan, sekiranya demikian, apakah asas prosedur bagi keputusan tersebut.

Katanya, syarikat tidak meminta maklumat sulit berkaitan siasatan, sebaliknya hanya memohon akauntabiliti dari segi prosedur serta arahan operasi yang jelas.

Pada 14 Ogos lalu, White House Office of Trade and Manufacturing Policy mengenal pasti Malaysia antara lebih 40 negara yang berisiko memudahkan pengelakan tarif melalui rangkaian transshipment yang mempunyai kaitan dengan China.

Dalam laporannya bertajuk The Great Transshipment Scam: Rise, Scope, and Costs, Amerika Syarikat meletakkan Malaysia dalam Tier 2 bersama Brazil, Indonesia, Thailand, Turkiye dan Vietnam, dengan menyatakan pelabuhan laut dalam, hab pembuatan dan zon perdagangan bebas negara ini berpotensi menjadi saluran untuk mengalihkan barangan dari China bagi mengelak tarif Amerika Syarikat.

Laporan itu menyatakan Malaysia berperanan sebagai hab pembuatan dan logistik, dengan turut menonjolkan koridor perindustrian Pulau Pinang-Kulim serta Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang.-UTUSAN

The post SPRM digesa beri penjelasan isu laporan campuran kargo petroleum appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved