
KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus memperkasakan Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) sebagai benteng utama membentuk jati diri generasi muda.
Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya JKKN, Nurwati Abdul Wahab berkata, program yang digagaskan sejak 2005 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu diwujudkan sebagai platform memberi pemahaman asas seni budaya serta membina modal insan dari peringkat muda.
Katanya, JKKN yang di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyokong pelaksanaan PBSB menerusi empat unit utama iaitu Unit Pembangunan Modal dan Kejurulatihan, Unit Pembangunan Asuhan dan Bimbingan, Unit Pembangunan Bimbingan Komuniti serta Unit Program Khas.
“Matlamat utama kami adalah untuk melahirkan generasi yang berbudaya tinggi, beridentiti dan menghargai warisan seni budaya negara.
“Selain memperkasa pembangunan bakat di peringkat sekolah rendah dan menengah, PBSB turut menjadi peneraju program bimbingan cemerlang, menyediakan modul standard serta melahirkan Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) yang mahir dan profesional seiring dengan keperluan semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Nurwati berkata, program itu merangkumi kursus melatih guru dan penggiat seni menerusi sistem pentauliahan Tahap 1 hingga 4 manakala bagi peringkat sekolah, Kelab Tunas Budaya (KTB) ditubuhkan di sekolah rendah dan Kelab Giat Budaya (KGB) membabitkan sekolah menengah.
Di samping itu, katanya terdapat Program Bimbingan Hujung Minggu (PBHM) untuk komuniti serta Program Pusat Bimbingan Seni Budaya (PuBSB) di pusat koreksional, penjara, pusat pemulihan dan prasekolah, manakala Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang (KBSC) menjadi platform lanjutan bagi peserta yang berpotensi tinggi.
Menurut Nurwati, sebanyak enam bidang utama ditawarkan iaitu seni tari, seni teater, seni muzik seperti gamelan, kompang dan angklung, seni silat, permainan tradisional gasing serta seni berbahasa.
“Kumpulan sasaran utama kami ialah kanak-kanak dan remaja berumur 6 hingga 17 tahun. Malah, asuhan diberikan seawal peringkat prasekolah atau tadika untuk mendedahkan mereka kepada asas budaya tanpa sebarang paksaan.
“Untuk kanak-kanak tadika, kita ikut sahaja rentak mereka. Sekiranya kita kata pusing ke kanan tetapi ada yang duduk atau pusing ke kiri, tidak mengapa. Yang penting mereka gembira dan secara perlahan-lahan mengenali tarian asas,” katanya.
Menurut beliau, mengenai prosedur pelaksanaan di sekolah, JKKN Negeri akan berbincang dengan pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri berpandukan perjanjian persefahaman rasmi bersama Kementerian Pendidikan.
Jelasnya, pelaksanaan program pelajar dihadkan kepada tiga sekolah rendah dan tiga sekolah menengah bagi setiap negeri selaras dengan peruntukan elaun jurulatih semasa.
“Program berkenaan dijalankan selama dua tahun iaitu enam bulan pada tahun pertama dan enam bulan pada tahun kedua sebelum diakhiri dengan Majlis Apresiasi bagi menilai hasil pembelajaran murid,” katanya.
Nurwati berkata, terdapat juga kisah kejayaan pembukaan PuBSB di pusat koreksional dan rumah anak yatim di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertindak sebagai pendekatan terapi seni.
“Antara yang membanggakan adalah di Sekolah Integriti Penjara Kluang, di mana prospek muda yang kita latih dalam seni budaya bukan sahaja mencapai keputusan cemerlang 6A dalam akademik, malah menjuarai pertandingan seni yang dianjurkan.
“Di rumah anak yatim pula, penglibatan ini memberi ruang kepada anak-anak yang terbiar untuk mendekati seni budaya sekali gus memberikan terapi seni serta membina kembali keyakinan diri mereka,” katanya.
Nurwati berkata, sambutan masyarakat terhadap PBSB amat memberangsangkan kerana penyertaan murid sekolah diiktiraf di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang menyumbang kredit penting untuk kemasukan ke universiti, selain menerima sijil perakuan rasmi JKKN.
Katanya, laluan kerjaya peserta dibuka secara berperingkat dari KTB ke KGB dan KBSC, seterusnya melanjutkan pengajian ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) atau institusi pengajian tinggi (IPT).
Mengulas lanjut mengenai persaingan dengan budaya luar seperti K-Pop, Nurwati berkata, pihaknya tidak melihat fenomena tersebut sebagai persaingan tetapi sebagai cabaran untuk menjadikan penyampaian seni tempatan lebih kreatif.
“Apabila generasi muda mengenali dan menghayati budaya sendiri, mereka akan mempunyai jati diri yang kukuh di mana jua mereka berada,” katanya.
Nurwati berkata, JKKN sentiasa mengemas kini modul standard bagi enam bidang utama dan menganjurkan kursus pemantapan berkala untuk JSBN bagi memastikan kualiti bimbingan sentiasa berada di tahap tertinggi.
Katanya, PBSB berperanan penting dalam melengkapkan pembangunan murid secara menyeluruh di mana aktiviti seni yang interaktif membantu murid yang kurang berminat dalam bidang ilmiah konvensional untuk membina disiplin dan keyakinan tinggi.-UTUSAN
The post JKKN perkasa warisan seni budaya membentuk jati diri generasi muda appeared first on Utusan Malaysia.



