JOHOR BAHRU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan dakwaan sebuah video tular kononnya seorang lelaki warga asing bersama anak-anak hadir meminta bantuan di pejabat JKM Kulai.
Dalam kenyataan rasmi, JKM menjelaskan kehadiran individu berkenaan adalah untuk ditemu bual oleh pegawai jabatan bagi penyediaan laporan yang diarahkan oleh Mahkamah, bukannya untuk memohon bantuan seperti yang digambarkan dalam video tersebut.
“JKM memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan salah faham serta persepsi negatif terhadap jabatan dan pegawai yang melaksanakan tugas rasmi,” kata kenyataan itu.
JKM menegaskan pihaknya sentiasa komited memastikan setiap tindakan pegawai dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selaras dengan undang-undang serta prosedur berkuat kuasa.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat kesimpulan berdasarkan kandungan media sosial yang belum disahkan kesahihannya serta tidak menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan masyarakat.
JKM menyeru orang ramai mendapatkan penjelasan daripada sumber rasmi sekiranya terdapat persoalan berkaitan perkhidmatan atau tindakan jabatan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Hasrunizah Hassan meminta isu tersebut tidak dibesar-besarkan kerana tiada bukti keluarga terbabit hadir untuk memohon bantuan.
“Sesiapa sahaja boleh hadir meminta bantuan kebajikan termasuk bukan warganegara, tetapi kelulusan permohonan terikat kepada dasar dan undang-undang,” katanya.
Terdahulu, video memaparkan seorang lelaki dipercayai warga Rohingya hadir ke JKM Kulai tular di media sosial dengan dakwaan mereka memohon bantuan daripada agensi berkenaan.


.jpg)



