KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan mengambil langkah penambahbaikan perkhidmatan dengan melaksanakan pemantauan berterusan terhadap pesakit berlatar belakang penyakit asma di Unit Kecemasan dan Trauma susulan isu tular berkaitan dakwaan kelewatan rawatan di Hospital Tumpat.
Selain itu, pesakit di Zon Hijau yang sedang menunggu pemeriksaan lanjut juga akan dinilai semula secara berkala sehingga dipanggil mendapatkan rawatan.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, langkah itu merupakan antara penambahbaikan awal yang dilaksanakan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di hospital berkenaan.
Menurutnya, pihak Hospital Tumpat juga akan menjalankan siasatan lanjut serta menambah baik prosedur sedia ada susulan hantaran tular berkenaan di media sosial pada Khamis.
“Berkaitan kes itu, berdasarkan laporan awal, pesakit perempuan berumur 17 tahun hadir ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tumpat pada jam 9.50 malam, Rabu dengan aduan sesak nafas, demam, batuk serta selesema.
“Pesakit diperiksa pegawai perubatan pada jam 9.52 malam dan hasil pemeriksaan mendapati tiada tanda serangan asma akut dan pemeriksaan lanjut di bahagian saringan sekunder juga mendapati keadaan pesakit stabil,” katanya.
Ujar beliau, pesakit kemudian ditempatkan di Zon Hijau sementara menunggu pemeriksaan lanjut memandangkan terdapat kes lain di Zon Kuning dan Zon Merah yang memerlukan rawatan segera ketika itu.
Bagaimanapun, ketika dipanggil semula untuk pemeriksaan lanjut pada jam 12.02 pagi, pesakit didapati sudah meninggalkan hospital tanpa memaklumkan kepada petugas.
“JKN Kelantan mendapati terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian khususnya dari segi komunikasi dan pengurusan pesakit di Unit Kecemasan dan Trauma,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan komited untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan yang profesional, berkualiti serta berfokus kepada kesejahteraan pesakit.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan seorang remaja perempuan tidak menerima rawatan sewajarnya ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tumpat sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.




