PASIR MAS – [DIKEMAS KINI] Hasrat dua pasangan pengantin untuk bersanding pada Aidiladha bertukar duka apabila anak saudara mereka maut dalam kemalangan ngeri dengan lengan terputus di Jalan Lubok Gong–Jeram Perdah di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Muhammad Luqman Zurul Azli, 19, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung dengan sebuah kereta Honda Jazz.
Lebih menyayat hati, kejadian berlaku ketika keluarga sedang membuat persiapan majlis perkahwinan ibu dan bapa saudara mangsa yang sepatutnya diraikan pada Jumaat.
**media[3535067]**
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Aidiladha: Remaja maut, lengan putus
Ibu mangsa, Liza Ariffin, 44, berkata, pada hari kejadian keluarga mereka bersiap untuk majlis akad nikah bapa saudara mangsa, Muhammad Farisyam Iskandar Ariffin, 24, bersama pasangannya.
Katanya, pada Jumaat pula berlangsung akad nikah ibu saudara mangsa, Anis Nurul Natasya Ariffin, 23, selain kenduri kedua-dua pasangan turut diadakan serentak.
“Pelamin putih sudah siap dipasang empat hari lalu. Memang semua persiapan sudah siap untuk majlis bersanding.
“Tetapi selepas kejadian ini, keluarga berbincang dan sepakat tidak meneruskan persandingan. Kenduri hanya diteruskan sekadar jamuan makan dan diselangi bacaan tahlil pada waktu malam,” katanya ketika ditemui di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang di sini.
**media[3534964]**
Menurutnya, sebelum kejadian keluarga juga merancang memakai pakaian sedondon berwarna coklat sempena Aidiladha dan kenduri keluarga.
“Semua ahli keluarga sudah beli baju warna coklat, tetapi arwah tidak mahu beli.
“Dia cakap tidak mahu sebab hendak pergi jauh,” katanya sebak.
Liza berkata, sebelum kejadian anak sulung daripada tiga beradik itu keluar rumah kira-kira jam 4.45 petang dengan menaiki motosikal sendiri dan sempat meminta wang RM5 untuk membeli minuman.
“Petang itu juga dia selimut motosikalnya sebelum keluar rumah.
“Kami tak sangka itu petanda terakhir,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang tidak bekerja ketika ini sangat rapat dengan ahli keluarga dan merupakan cucu sulung dalam keluarga besar mereka.
Mangsa mempunyai dua adik iaitu seorang adik lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 18 tahun dan adik perempuan yang masih bersekolah rendah.
Sementara itu, bapa mangsa, Zurul Azli Awang, 48, berkata, dia mengetahui kejadian tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya.
**media[3535068]**
Menurut tukang cat itu, pada mulanya rakannya memaklumkan mangsa terlibat kemalangan di Gual To’ Deh dan mengalami putus lengan kanan.
“Tidak lama kemudian saya terima satu lagi panggilan memaklumkan anak saya sudah meninggal dunia.
“Dia anak yang baik dan kami reda dengan keadaan ini,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Lapan, Gual Periok.





