KOTA BHARU – Kenderaan mewah jenis Porsche 911 GT3 dan Porsche Panamera V6 antara 42 kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan kerana dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, hasil operasi Ops Luxury 2.0 yang bermula awal tahun ini mendapati ada pemilik kenderaan mewah dipercayai sengaja melengah-lengahkan pembaharuan cukai jalan selain terpaksa menampung kos penyelenggaraan yang tinggi serta mempunyai saman tertunggak.
Menurutnya, ada juga segelintir pemilik seolah-olah memandang rendah terhadap tindakan penguatkuasaan kerana beranggapan kenderaan mewah jarang diperiksa.
“Mungkin ada yang buat-buat lupa, berkira untuk memperbaharui dokumen atau fikir kami tidak akan ambil tindakan terhadap kenderaan mewah.
**media[3526095]**
“Tetapi sekarang semuanya mudah disemak melalui aplikasi MyJPJ. Notifikasi tamat tempoh sentiasa ada, jadi saya rasa tiada alasan lagi,” katanya pada sidang media Ops Khas Kenderaan Mewah (Luxury) dan Ops Hari Raya Aidiladha 2026 di Pejabat JPJ Negeri di Panji, di sini pada Selasa.
Turut diambil tindakan dalam operasi berkenaan ialah beberapa model mewah lain seperti Jeep Wrangler, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, BMW 528i Limousine, Audi TTS dan Mercedes-Benz.
Beliau berkata, operasi terbabit secara keseluruhan merekodkan 35 kes cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans (31 kes) dan masing-masing satu kes bagi penggunaan nombor pendaftaran perdagangan palsu serta pertukaran enjin tanpa kebenaran.
“Tempoh paling lama cukai jalan tidak dijelaskan dikesan pada 2020 dan tindakan diambil bagi memastikan pemilik tidak terus mengabaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Menurut beliau, pemilik kenderaan terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk ahli perniagaan, kakitangan awam dan golongan profesional.
Katanya, ada kes pemilik menyambung insurans tetapi gagal memperbaharui cukai jalan sehingga menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.
**media[3526098]**
“Jumlah ketirisan hasil kerajaan melibatkan 42 kenderaan yang disita berjumlah RM34,547.80 setahun.
“Kadar cukai jalan tertinggi direkodkan ialah RM6,612 setahun manakala paling rendah RM70,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan tanpa mengira status pemilik atau jenis kenderaan.
“Kenderaan mewah bukan lesen untuk terlepas daripada tindakan. Kita tidak memilih bulu,” katanya.






