JKR buat penilaian ganti baharu jambatan uzur Kampung Lubuk Gaharu

11 Jun 2026 • 6:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JKR buat penilaian ganti baharu jambatan uzur Kampung Lubuk Gaharu
Keadaan jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu mendapat perhatian di media sosial susulan paparan video lokasi penemuan pendaki wanita hilang, Jaslinda Saludin oleh Sinar Harian.

IPOH - Kerajaan Perak mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan penilaian terhadap keadaan jambatan gantung uzur di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh sebelum sebarang keputusan pembaikan atau pembinaan semula dibuat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco negeri susulan permohonan yang dikemukakan sebelum ini termasuk oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Menurutnya, setiap permohonan perlu melalui penelitian terperinci melibatkan aspek keperluan serta kos sebelum sebarang kelulusan diberikan.

"JKR dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan melihat justifikasi terlebih dahulu, termasuk jumlah pengguna yang melalui laluan tersebut.

"Kalau tiada kenderaan bermotor, tidak berbaloi untuk kita bina jambatan yang canggih, memadai dengan menaik taraf atau membaiki titian gantung sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di sini pada Khamis.

Keadaan jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu mendapat perhatian di media sosial susulan paparan video lokasi penemuan pendaki wanita hilang, Jaslinda Saludin.

Rata-rata pengguna media sosial mengharapkan, sebuah jambatan baharu yang lebih selamat dan kukuh dapat dibina demi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Sebelum ini, Tok Batin Kampung Lubuh Gaharu, Mohd Asmadi Abdullah memaklumkan, jambatan tersebut dibina sejak dua tahun lalu menggunakan bahas asas seperti papan dan buluh.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan pemberian penghargaan kepada dua individu Orang Asli yang menemui Jaslinda, Saarani berkata, perkara itu masih di peringkat penelitian.

Katanya, kerajaan negeri akan menunggu laporan lengkap sebelum mempertimbangkan sebarang bentuk penghargaan yang sesuai.

Pada 6 Jun lalu, Jaslinda, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei, ditemui dalam keadaan selamat selepas dilihat berjalan seorang diri di atas jambatan di Kampung Lubuk Gaharu dekat Pos Musoh, Tapah.

Kehadiran itu disedari dua penduduk Orang Asli, Nazri Bah Eng, 55, dan Bah Roslan Bah Sulpok, 51, yang sedang memancing sekitar jam 5.10 petang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved