JKR Sandakan pantau jalan berlubang akibat hujan lebat

8 Feb 2023 • 5:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Jabatan Kerja Raya JKR Daerah kini memantau dan memeriksa keadaan jalan raya dari Batu 32 sehingga Bandar Sandakan yang berlubang akibat hujan lebat.

Menurut jurutera awam JKR Sandakan, Mohd Fairuz Nizam, pihak JKR melalui konsesinya juga giat melakukan tampalan ke atas lubang-lubang jalan raya di sekitar daerah Sandakan.

“Kita tidak menafikan kerja-kerja membaiki jalan raya agak tergendala buat masa ini akibat cuaca yang tidak menentu.

“Kita juga memantau keadaan jalan dari Batu 32 sehingga Bandar Sandakan. Penampalan lubang jalan akan dilaksanakan secara berperingkat untuk kedua-dua jalan negeri dan persekutuan,” katanya.

Beliau ditemui media semasa hadir dalam lawatan bersama Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir untuk memeriksa bulatan di hadapan Tamu Gum-Gum pada Selasa.

Difahamkan, bulatan yang baharu sahaja siap dibina pada tahun lepas itu mendapat perhatian pihak ramai kerana menyebabkan kesesakan jalan yang teruk terutamanya pada waktu puncak.

JKR juga akan menampal lubang yang terdapat di bulatan jalan Tamu Gum-Gum serta kawasan sekitar Gum-Gum dalam kadar segera bagi memudahkan pengguna jalan raya.

Pembaikan Jalan Gum-Gum, Batu 16 ini dilihat sebagai satu keperluan kerana jalan tersebut merupakan jalan utama untuk semua pengguna jalan raya yang ingin ke Bandar Sandakan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.