
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) memaklumkan bahawa jabatan itu menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha, gerakan atau penyebaran fahaman yang cuba menggugat dan merosakkan pegangan akidah umat Islam di Malaysia.
Rujuk Kepada Badan Agama Berautoriti Jika Musykil Dengan Perkara Berkait Akidah – Ahmad Fauwaz
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil, JMWP memandang serius sebarang bentuk penyelewengan akidah yang menyimpang daripada ketetapan al-Quran dan al-Sunnah, ijmak ulama serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan umat Islam di negara ini.
“Sehubungan itu, JMWP menyeru seluruh umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada fatwa-fatwa yang telah diputuskan berkaitan pegangan akidah dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ajaran yang diragui kesahihannya.
“Dalam masa yang sama, JMWP ingin mengingatkan masyarakat agar merujuk sebarang kemusykilan berkaitan akidah kepada badan-badan agama yang berautoriti dan tidak bertindak secara melulu sehingga boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keharmonian sejagat,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook hari ini (29 September).
“Akidah Yang Sahih Tunjang Kekuatan Umat” – Ahmad Fauwaz
Dalam pada itu, Ahmad Fauwaz juga memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam membanteras sebarang tindakan yang boleh memesongkan akidah umat Islam.
“Akidah yang sahih adalah tunjang kekuatan umat. Memeliharanya adalah tanggungjawab bersama,” tambahnya.
JPM HEA Tolak NAM & Fahaman Bercanggah Syarak – Dr Zulkifli Hasan
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dalam satu hantaran di Facebook pagi ini turut menegaskan bahawa pihaknya menolak New Age Movement dan mana-mana fahaman bercanggah syarak.
“Siasatan menyeluruh telah dan akan terus dijalankan.”
UMNO Gesa Siasat Tuduhan Marhamah Terlibat Ajaran New Age Movement
Sebelum ini, seorang pengguna Facebook dengan nama pengguna Masyitah Ashari mendakwa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli terlibat dalam ajaran New Age Movement (NAM) yang mana sesetengah tokoh agama menyifatkan gerakan itu bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Susulan itu, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menggesa satu siasatan dijalankan ke atas Marhamah yang didakwa terlibat dengan gerakan berkenaan.
Jelasnya, langkah itu penting bagi mengelakkan timbul keraguan awam terhadap ketelusan siasatan berhubung tuduhan terbabit.
“Tuduhan-tuduhan ini melibatkan kredibiliti Kerajaan Perpaduan dari sudut penyelarasan pengurusan Hal Ehwal Islam dalam negara,” katanya, lapor Sinar Harian.
PAS Sabah Gesa Letak Jawatan Jika Dakwaan Marhamah Amal Ajaran NAM Terbukti Sahih
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menggesa Marhamah meletakkan jawatannya jika terbukti beliau terbabit atau menyokong fahaman NAM.
Aliakbar berkata, penelitian menyeluruh berasaskan bukti sahih dan disiplin ilmu perlu dilaksanakan pihak berkuasa agama bagi menentukan status sebenar dakwaan itu.
“PAS Sabah mengambil maklum penafian dan penjelasan yang dikemukakan berhubung isu ini. Namun, penelitian menyeluruh berasaskan bukti yang sahih dan disiplin ilmu perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama bagi memastikan kedudukan sebenar perkara ini dapat dipastikan.
“Sekiranya dakwaan itu terbukti, peletakan jawatan merupakan langkah yang wajar. Jika beliau enggan berbuat demikian, Perdana Menteri hendaklah mengambil tindakan menyingkirkan beliau daripada jawatan tersebut,” katanya semalam (28 September).
PAS Sabah menegaskan bahawa pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang telah diwartakan di negeri Sabah hendaklah terus dipertahankan sebagai panduan umat Islam, merangkumi tiga teras iaitu:
- Akidah dan tauhid: Berdasarkan pegangan Imam Abu Hassan al-Asy‘ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.
- Fikah dan syariah: Berdasarkan Mazhab Syafii, di samping meraikan Mazhab Hanafi, Maliki, Hambali serta pandangan imam-imam muktabar yang lain.
- Tasawuf: Berteraskan manhaj yang berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.
Marhamah Nafi Terlibat Dengan NAM Yang Bercanggah Dengan Akidah Serta Syariat Islam
Susulan desakan banyak pihak, Marhamah semalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menganut, mengamalkan atau menyebarkan NAM atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah serta syariat Islam.
Tegasnya, beliau berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak pernah meninggalkan pegangan tersebut.
“Berdasarkan pertemuan dan penjelasan yang telah diberikan, tiada pertikaian berhubung akidah saya dan tiada keterlibatan saya sama sekali dengan NAM.
“Nasihat yang diberikan adalah berkaitan beberapa hantaran lama saya yang memerlukan penjelasan, khususnya berhubung perkongsian kandungan, penglibatan dengan individu tertentu serta penggunaan beberapa istilah yang kemudiannya dikaitkan dengan NAM,” jelasnya.
Tidak Ada Hubungan Peribadai Dengan Individu Yang Dikaitkan Dengan Dakwaan Amal Ajaran NAM – Marhamah
Tambah Marhamah, beliau tidak mempunyai hubungan peribadi atau perguruan bersama individu yang dikaitkan dengannya dalam dakwaan tular iaitu Umar Paranorms; Afnan Rosli dan Ustaz Nasrullah.




